Ahad, 21 April 2024 | 1:18pm
Harga minyak melonjak susulan laporan Israel bertindak balas kepada serangan peluru berpandu Iran - Foto Reuters
Harga minyak melonjak susulan laporan Israel bertindak balas kepada serangan peluru berpandu Iran - Foto Reuters

Harga minyak mentah berpotensi cecah AS$120 setong

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah dunia boleh meningkat melebihi AS$120 setong jika ada gangguan bekalan yang teruk seandainya situasi di Asia Barat bertambah buruk dengan serangan balas antara Iran dan Israel menjadi besar-besaran, demikian menurut Ketua Risiko Negara & Perbankan Global Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) BMI, Ramona Moubarak.

Harga minyak melonjak dan pasaran saham merudum pada Jumaat lalu susulan laporan Israel telah bertindak balas kepada serangan oleh Iran, perkembangan yang sama menyebabkan pelaburan aset lebih selamat seperti emas meningkat.

Media kerajaan Iran melaporkan letupan di wilayah tengah Isfahan pada Jumaat lalu, dengan media Amerika Syarikat (AS) memetik beberapa pegawai berkata bahawa Israel telah melakukan serangan balas terhadap musuh ketatnya itu.

Harga niaga hadapan minyak mentah penanda aras AS, West Texas Intermediate mengakhiri dagangan Jumaat lalu meningkat 1.4 peratus kepada AS$83.85 setong, manakala minyak mentah Brent menokok 1.1 peratus kepada AS$88.10 setong.

Iran pada minggu lalu melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan 1 April ke atas Konsulat Iran di Damsyik, Syria.

Menurut beberapa laporan yang belum disahkan, Kor Pengawal Revolusi Iran (IRG) menembak lebih 300 peluru berpandu dan dron dalam serangan yang berlangsung selama beberapa jam, kebanyakannya dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel.

Bagaimanapun, komander IRG, Jeneral Hossein Salami memberitahu pemberita di Tehran pada pagi Ahad, operasi itu berjaya lebih daripada yang mereka jangkakan.

Sementara itu, spekulasi mendakwa Israel mungkin memutuskan untuk bertindak balas, di mana pakar percaya boleh mencetuskan perang serantau besar-besaran.

Dalam pada itu, Ramona berkata harga emas berpotensi mencecah AS$2,700 seaun jika situasi di Asia Barat itu semakin tidak terkawal.

Beliau berkata, emas menjadi perhatian pelabur memandangkan statusnya sebagai aset lindung nilai apabila ketegangan geopolitik meningkat, malah prestasi harga logam berharga itu juga telah mengatasi kebanyakan prestasi komoditi lain pada tahun ini dengan meningkat 14 peratus setakat tahun ini, menjejaki rapat kenaikan 18 peratus harga minyak mentah Brent.

Katanya, pihaknya menjangkakan harga emas akan berlegar pada paras AS$2,250 seaun hingga AS$2,400 seaun jika tiada serangan balas.

"Jika serangan balas semakin meningkat, harga emas dijangka meningkat mencecah AS$2,400 seaun hingga AS$2,500 seaun.

"Jika serangan balas menjadi besar-besaran, harga emas boleh mencecah AS$2,500 seaun hingga AS$2,700 seaun," katanya pada webinar bertajuk 'Ketegangan Israel-Iran: Apa selanjutnya', baru-bari ini/

Mengulas sama ada harga emas boleh mencecah AS$3,000 seaun, Ramona berkata: "Tidak".

Berita Harian X