Jumaat, 19 April 2024 | 8:56pm
Tengku Zafrul berucap merasmikan majlis memulakan pembinaan MCE Auto Hub di Serendah hari ini -NSTP/ASYRAF HAMZAH
Tengku Zafrul berucap merasmikan majlis memulakan pembinaan MCE Auto Hub di Serendah hari ini -NSTP/ASYRAF HAMZAH

MITI pantau rapat perkembangan konflik di Asia Barat

SERENDAH: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memantau dengan teliti laporan mengenai konflik di Asia Barat yang berkemungkinan meningkatnya ketegangan di rantau berkenaan.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata setakat ini, penghantaran melalui laluan perkapalan di Laut Merah masih agak tenang pada masa ini.

"Bagaimanapun, harga minyak akan terjejas sekiranya keadaan semakin meruncing kerana laluan itu merupakan laluan utama untuk eksport minyak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis memulakan pembinaan fasiliti pembuatan baharu MCE Holdings Bhd (MCE), iaitu MCE Auto Hub, di Taman Pembuatan Bernilai Tinggi Serendah, Selangor.

Pada masa ini, penanda aras harga minyak mentah Brent meningkat 0.31 peratus kepada AS$87.38 setong, manakala minyak mentah WTI naik 0.47 peratus kepada AS$83.12 setong.

Terdapat kebimbangan bahawa dengan meningkatnya konflik di antara Iran dan Israel boleh menyebabkan ketidakstabilan di rantau Teluk Parsi dan mengganggu laluan perkapalan, hingga boleh memutuskan bekalan di antara Eropah dan Asia, termasuk Malaysia.

MCE Auto Hub yang akan ditubuhkan oleh anak syarikat milik penuh MCE, Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd kini sedang memulakan pembinaan fasa pertamanya dengan pelaburan awal RM50 juta di tanah seluas 3.24 hektar.

Multi-Code Electronics ialah pengeluar peralatan tulen (OEM) yang mengkhusus dalam bahagian elektronik automotif dan mekatronik.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata pembangunan MCE Auto Hub adalah bukti kerajaan dan dasar strategik MITI untuk mendorong ke arah pertumbuhan dan inovasi dalam sektor automotif Malaysia.

"Pembangunan MCE Auto Hub akan terus menyumbang kepada pertumbuhan sektor automotif, yang kini menyumbang kira-kira RM40 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, sambil menyediakan 700,000 pekerjaan.

-BERNAMA

Berita Harian X