Jumaat, 19 April 2024 | 3:28pm
ABC News melaporkan bahawa peluru berpandu Israel telah mengenai tapak di Iran - Foto AFP
ABC News melaporkan bahawa peluru berpandu Israel telah mengenai tapak di Iran - Foto AFP

Serangan Israel ke atas Iran lonjak harga minyak

HONG KONG: Harga minyak melonjak AS$3 setong hari ini sebagai reaksi kepada laporan bahawa peluru berpandu Israel telah menyerang tapak di Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa bekalan minyak Asia Barat boleh terganggu.

Kontrak penanda aras melonjak lebih daripada AS$3 sebelum menyusut sedikit.

Niaga hadapan Brent naik AS$2.63 atau tiga peratus, kepada AS$89.74 setong.

Kontrak penanda aras minyak Amerika Syarikat (AS). West Texas Intermediate yang paling aktif meningkat sebanyak AS$2.56, atau 3.1 peratus, kepada AS$84.66 setong.

Akhbar berita AS, ABC News memetik seorang pegawai AS sebagai berkata bahawa peluru berpandu Israel telah mengenai tapak di Iran.

Agensi berita Fars Iran berkata, letupan kedengaran di lapangan terbang di bandar Isafahan di Iran tetapi puncanya tidak diketahui dengan segera.

Beberapa penerbangan telah dilencongkan dari ruang udara Iran, lapor CNN.

"Sekiranya laporan ini ternyata benar, kebimbangan mengenai peningkatan selanjutnya hanya akan bertambah, selain kebimbangan bahawa kita berpotensi bergerak lebih dekat ke arah situasi di mana risiko bekalan minyak membawa kepada gangguan bekalan sebenar," kata Ketua Strategi Komoditi di ING, Warren Patterson dalam satu nota.

Laporan itu mencetuskan kebimbangan bahawa Israel telah bertindak balas terhadap serangan dron dan peluru berpandu Iran pada hujung minggu lalu, kata Patterson.

Hujung minggu lalu, Iran melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu sebagai tindak balas selepas serangan Israel yang disyaki ke atas perkarangan kedutaan Iran di Syria.

Kebanyakan dron dan peluru berpandu telah ditembak sebelum sampai ke wilayah Israel, dengan kerosakan dan korban yang minimum.

Pelabur telah memantau dengan teliti reaksi Israel terhadap serangan dron Iran pada 13 April lalu.

Risiko geopolitik ke atas harga minyak telah reda minggu ini dengan tanggapan bahawa sebarang tindakan balas Israel terhadap serangan Iran akan diselaraskan oleh tekanan antarabangsa.

Dari segi bekalan minyak mentah global, Venezuela kehilangan lesen utama AS yang membolehkan ahli Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) itu mengeksport minyak ke pasaran di seluruh dunia.

AS juga mengumumkan sekatan ke atas Iran, satu lagi anggota OPEC, dengan menyasarkan kenderaan udara tanpa pemandun selepas serangan dron negara itu ke atas Israel hujung minggu lalu.

Sekatan ke atas Iran, bagaimanapun, tidak membabitkan industri minyak negara itu. 

-Reuters

Berita Harian X