Rabu, 17 April 2024 | 2:31pm
Trafik penumpang ke dan dari Asia Barat menyumbang tujuh peratus daripada trafik penumpang antarabangsa di KLIA sebelum pandemik - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Trafik penumpang ke dan dari Asia Barat menyumbang tujuh peratus daripada trafik penumpang antarabangsa di KLIA sebelum pandemik - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Industri penerbangan berdepan risiko konflik Asia Barat, harga bahan api

KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan prospek positif terhadap sektor penerbangan meskipun ketegangan meningkat di Asia Barat, trafik penumpang yang berpotensi terjejas di rantau itu dan kos bahan api jet yang turun naik.

Bagaimanapun, ia menganggarkan dalam kes senario terburuk, sekiranya trafik penumpang dari dan ke Asia Barat terhenti sepenuhnya, pendapatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka menyusut sebanyak 26 peratus bagi asas tahun penuh, manakala harga sasaran saham (TP) juga turun 26 peratus kepada RM6.61.

"Apa yang membimbangkan kami adalah trafik penumpang ke dan dari Asia Barat akan memberi kesan kepada operasinya di Malaysia dan Turkiye. MAHB setakat ini belum mengeluarkan statistik lapangan terbang 2023 yang memperincikan trafik penumpang dari rantau itu.

"Mengikut statistik lapangan terbang 2019 (sebelum pandemik), trafik penumpang ke dan dari Asia Barat menyumbang tujuh peratus daripada trafik penumpang antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 28 peratus daripada trafik penumpang antarabangsa di Sabiha Gokcen Istanbul," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, bagi Capital A dan AirAsia X (AAX), Maybank IB berkata kebimbangan utama ialah kesan harga bahan api jet yang lebih tinggi berikutan keempat-empat syarikat penerbangan Capital A tidak terbang ke mana-mana destinasi di Asia Barat.

"Walaupun unjuran kami harga pada AS$105 setong untuk harga semerta bahan api jet, ia tidak jauh daripada AS$104 setong pada ketika ini.

"Jeddah, Arab Saudi, satu daripada destinasi AAX, tetapi destinasi ini hanya menyumbang antara 5.0 hingga 7.0 peratus daripada jumlah kilometer tempat duduk, jadi, seperti Capital A, kebimbangan utama kami untuk AAX ialah harga bahan api jet yang melambung tinggi," katanya.

Bank pelaburan itu mengunjurkan setiap kenaikan AS$1 setong harga bahan api jet, ia akan menurunkan anggaran keuntungan bersih terasnya sebanyak RM14 juta dan TP berasaskan jumlah bahagian (SOP) sebanyak 24 sen.

Ia seterusnya menyatakan bahawa anggaran pendapatan, saranan dan TP sedang disemak.

Pada 11.37 pagi tadi, saham MAHB susut 20 sen kepada RM9.86 dengan 452,800 saham didagangkan, AAX naik satu sen pada RM1.25 dengan 193,400 saham bertukar tangan, manakala Capital A menokok setengah sen pada 67.5 sen dengan 2.44 juta saham diniagakan.

-BERNAMA

Berita Harian X