Rabu, 17 April 2024 | 1:18pm
Kesan daripada kejutan tenaga sedikit sebanyak masih ada - Foto Reuters
Kesan daripada kejutan tenaga sedikit sebanyak masih ada - Foto Reuters

Kenaikan harga minyak boleh jejas prospek ekonomi dunia

WASHINGTON: Kenaikan harga minyak baru-baru ini yang didorong oleh peningkatan konflik di Asia Barat berpotensi menjejaskan prospek 'agak baik' Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap ekonomi dunia.

"Kami mengunjurkan ekonomi global yang agak berdaya tahan untuk 2024," kata Ketua Ahli Ekonomi IMF, Pierre-Olivier Gourinchas dalam temu bual menjelang penerbitan laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO).

IMF menjangkakan ekonomi dunia berkembang sebanyak 3.2 peratus tahun ini dan seterusnya, manakala inflasi akan terus mereda daripada paras tertinggi selepas pandemik untuk mencecah 5.9 peratus tahun ini, dan 4.5 peratus tahun depan di tengah-tengah kenaikan kadar faedah di kebanyakan negara.

"Berita ini agak baik," kata Gourinchas.

"Salah satu perkara yang boleh menjejaskan laluan ke arah disinflasi (memperlahankan kadar inflasi) adalah gangguan dalam harga minyak, harga tenaga atau harga komoditi.

"Setakat ini, kita telah melihat beberapa tekanan dalam harga minyak, tetapi masih terlalu awal untuk memikirkan sama ada ia akan berterusan.

"Banyak berita yang sangat baik mengenai ekonomi Amerika Syarikat (AS) sejak enam bulan lalu," kata Gourinchas, merujuk kepada pertumbuhan produktiviti AS yang mantap, didorong oleh bekalan buruh dan perbelanjaan awam.

Beliau berkata, pertambahan pekerja asing di AS meningkatkan kapasiti ekonomi untuk menjana lebih banyak pengeluaran dan ia juga menyederhanakan tekanan ke atas pasaran pekerjaan.

"Kami masih menjangkakan inflasi akan turun sepanjang 2024, dan ini menjadikan Rizab Persekutuan (Fed) berada dalam kedudukan untuk dapat mula mengurangkan kadar faedah pada akhir tahun ini," katanya.

Berbeza dengan ekonomi AS yang berdaya tahan, IMF menjangkakan pertumbuhan di Eropah akan berterusan pada kadar yang lebih perlahan dalam jangka pendek, dengan unjuran pertumbuhan 0.8 peratus bagi kawasan zon euro tahun ini, sebelum meningkat sedikit kepada 1.5 peratus pada 2025.

"Kesan daripada kejutan tenaga sedikit sebanyak masih ada, walaupun ini telah menjadi sedikit sederhana," kata Gourinchas.

"Namun jangan lupa bahawa kita mempunyai dasar monetari yang ketat, dan dasar monetari itu meningkatkan kos untuk meminjam bagi isi rumah dan perniagaan," tambahnya.

Tidak seperti AS, pengguna dan perniagaan Eropah juga berasa kurang yakin dengan tahap kesihatan ekonomi secara keseluruhan, menurut Gourinchas.

"Ini bermakna kurang penggunaan, kurang permintaan agregat, kurang pelaburan," katanya.

Disebabkan kadar disinflasi yang pesat di Eropah dalam beberapa bulan kebelakangan ini, IMF melihat unjuran Bank Pusat Eropah (ECB) terhadap pemotongan kadar faedah pada Jun ini sebagai 'ramalan munasabah', kata Gourinchas.

-AFP

Berita Harian X