Isnin, 15 April 2024 | 9:16pm
Pengeluaran MSM meningkat 10.57 peratus kepada 1.39 juta tan - Foto Reuters
Pengeluaran MSM meningkat 10.57 peratus kepada 1.39 juta tan - Foto Reuters

Stok minyak sawit Malaysia susut 10.68 peratus bulan lalu

KUALA LUMPUR: Stok minyak sawit Malaysia menyusut sebanyak 10.68 peratus kepada 1.71 juta tan pada Mac 2024 daripada 1.92 juta tan pada Februari 2024, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Dalam laporan prestasi industrinya untuk Mac 2024, MPOB berkata stok minyak sawit mentah (MSM) negara menurun 22.22 peratus kepada 797,974 tan pada Mac daripada 1.03 juta tan yang dicatatkan pada Februari.

Sementara itu, stok minyak sawit yang diproses meningkat 2.56 peratus kepada 916,999 tan pada Mac daripada 894,131 tan sebelum ini, katanya.

Mengenai pengeluaran MSM, MPOB berkata ia meningkat 10.57 peratus kepada 1.39 juta tan pada Mac daripada 1.26 juta tan pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran isirung sawit meningkat 13.98 peratus kepada 343,850 tan metrik daripada 301,671 tan pada Februari.

Berhubung eksport, MPOB berkata eksport minyak sawit meningkat 28.61 peratus kepada 1.32 juta tan pada Mac daripada 1.02 juta tan pada Februari, tetapi eksport biodiesel susut 46.13 peratus kepada 15,825 tan pada Mac daripada 29,378 tan pada Februari.

Eksport oleokimia meningkat 0.61 peratus kepada 256,811 tan pada Mac daripada 255,241 tan sebelum ini.

Minyak isirung sawit yang dieksport turut meningkat 48.08 peratus kepada 82,389 tan bulan lepas daripada 55,639 tan pada Februari, manakala eksport kek isirung sawit meningkat 38.23 peratus kepada 188,262 tan pada Mac daripada 136,195 tan sebelumnya.

Mengenai import, MPOB berkata import minyak sawit pada bulan itu turun 32.75 peratus kepada 21,894 tan pada Mac daripada 32,556 tan pada bulan sebelumnya, manakala import minyak sawit yang diproses menyusut 8.64 peratus kepada 21,894 tan metrik berbanding 23,964 tan pada Februari.

Bagaimanapun, jumlah import minyak isirung sawit melonjak 157.70 peratus kepada 11,686 tan metrik pada Mac daripada 4,535 tan metrik pada Februari, manakala tiada import MSM direkodkan bagi Mac berbanding 8,592 tan metrik yang diimport pada Februari.

-BERNAMA

Berita Harian X