Isnin, 15 April 2024 | 2:20pm
Sistem anti peluru berpandu beroperasi selepas Iran melancarkan serangan ke atas Israel - Foto Reuters
Sistem anti peluru berpandu beroperasi selepas Iran melancarkan serangan ke atas Israel - Foto Reuters

Ringgit, sektor ekonomi terkesan konflik berpanjangan Asia Barat

KUALA LUMPUR: Konflik terbaharu di Asia Barat dijangka memberi kesan kepada pelbagai aspek ekonomi Malaysia termasuk nilai ringgit sekiranya berlanjutan untuk tempoh yang lama, demikian menurut penganalisis.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata risiko utama untuk tempoh terdekat adalah ringgit, memandangkan suasana ketidakpastian kebiasaannya akan menyebabkan permintaan terhadap mata wang selamat seperti dolar Amerika Syarikat (AS) meningkat.

"Justeru, kemungkinan ringgit untuk merosot menjadi risiko utama. Kesannya adalah peningkatan kos dalam mengimport barangan dari luar negara memandangkan dolar AS adalah mata wang yang kerap diguna bagi tujuan penyelesaian perdagangan," katanya kepada BH.

Mohd Afzanizam berkata, selain mata wang, kesan kepada sektor ekonomi juga dilihat terjejas membabitkan agro-makanan, kesihatan, mesin dan peralatan serta komoditi seperti minyak dan gas.

"Ini amat bergantung kepada skala konflik kerana ia membabitkan kuasa besar seperti AS dan Eropah. Namun, institusi seperti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dijangka memainkan peranan penting bagi mengimbangi ketegangan ini berdasarkan lunas undang-undang yang ada.

"Melihat kepada maklum balas kuasa besar juga mereka dilihat bersetuju bahawa konflik ketenteraan yang berterusan akan merugikan semua pihak. Justeru, perhatian akan diberikan dalam aspek ini bagi menilai sejauh mana konflik ini bakal memberi kesan kepada ekonomi global.

"Kita akui bahawa proses globalisasi telah menyebabkan negara-negara di serata dunia bergantung antara satu sama lain bagi tujuan perdagangan. Sekiranya rantaian ini terganggu oleh konflik ketenteraan maka kesannya kepada ekonomi global adalah besar," katanya.

Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed pula berkata, kesan ketegangan terkini di Asia Barat berpotensi melonjakkan harga minyak mentah kerana krisis berkenaan akan memberi impak kepada pengeluaran.

Katanya, potensi kenaikan harga minyak mentah dijangka memberi kesan domino kepada harga barang sekali gus mencetuskan ketidakseimbangan kenaikan kedua-dua harga berkenaan.

"Acap kali krisis di Asia Barat berlaku dan kita tahu bahawa ketegangan telah lama berlaku. Kesan kita dapat lihat dari segi potensi kenaikan harga minyak mentah lebih tinggi disebabkan aspek pengeluaran minyak mentah di kawasan Asia Barat secara keseluruhannya terjejas. Sekiranya berterusan akan beri kesan yang besar kepada harga minyak.

"Harga barangan yang diimport akan meningkat, selain ketegangan geopolitik ini akan menjejaskan gangguan bekalan global yang memberi kesan kepada aspek perdagangan," katanya

Beliau berkata, krisis geopolitik juga dijangka memberi kesan kepada perdagangan dan pelaburan Malaysia, di mana untuk tempoh tertentu, pelaburan langsung asing (FDI) juga mungkin terkesan disebabkan pelabur akan mengambil langkah berhati-hati dengan memantau ketegangan di Asia Barat.

"Saya melihat sektor pelancongan, perkilangan dan pembuatan akan terjejas disebabkan krisis ini," katanya.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat jika perang di Gaza berlanjutan dengan serangan Iran ke atas Israel, kesan kepada ekonomi dunia berlaku secara mendadak.

"Bursa saham seluruh dunia dijangka turun dan pengurus dana beralih kepada memegang pelaburan bon terbitan 10 tahun dengan hasilnya kini mulai tinggi semula pada 4.5 peratus. Pengurus dana dijangka akan menambah pembelian emas sebagai pelaburan selamat," katanya.

Berita Harian X