Isnin, 15 April 2024 | 12:17pm
Konflik di Asia Barat meningkat selepas Iran melancarkan gelombang dron dan peluru berpandu - Foto AFP
Konflik di Asia Barat meningkat selepas Iran melancarkan gelombang dron dan peluru berpandu - Foto AFP

Serangan Iran cetus kenaikan harga emas, minyak

KUALA LUMPUR: Laporan awal membabitkan serangan Iran ke atas Israel hujung minggu lalu mencetuskan kenaikan harga emas dan minyak mentah.

CIMB Treasury and Markets Research dalam satu nota penyelidikan berkata, peningkatan konflik di Asia Barat menyaksikan harga emas meningkat melepasi paras tertinggi baharu AS$2,420 (RM11,537.30) seauns atau RM370.93 segram di tengah-tengah laporan awal, sebelum menyusut kepada AS$2,350 (RM11,203.60) atau RM360.20 segram.

"Harga minyak mentah Brent pula mengimbangi paras tertinggi harian pada AS$92 setong untuk ditutup 0.8 peratus lebih tinggi kepada AS$90.5 setong," katanya.

Konflik di Asia Barat meningkat selepas Iran melancarkan gelombang dron dan peluru berpandu dalam serangan balas terhadap Israel pada hujung minggu.

Sementara itu, CIMB Treasury and Markets Research berkata, hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) jatuh mendadak dengan aktiviti penutupan pendek yang menguatkan rali selepas kerugian besar pada Rabu.

"Hasil 2-tahun turun tujuh mata asas (bps) kepada 4.90 peratus selepas menghampiri paras 5.00 peratus, manakala hasil 10-tahun ditutup tujuh bps lebih rendah selepas melepasi paras 4.50 peratus ketika dagangan harian sebelum ia mengurangkan keuntungan.

"Indeks dolar AS (DXY) meneruskan keuntungan untuk sesi ketiga berturut-turut untuk mencapai paras 106.0, paras tertingginya sejak Oktober di tengah-tengah jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengekalkan kadar faedah lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama," katanya.

Firma penyelidikan pasaran itu menambah, pengukuhan dolar AS juga menimbulkan masalah bagi mata wang G10, yang merosot 0.4 hingga 1.5 peratus dengan euro jatuh 0.8 peratus di tengah-tengah keyakinan pasaran yang semakin meningkat terhadap pemotongan kadar Bank Pusat Eropah (ECB) pada Jun yang memacu penurunan mata wang itu sejak kebelakangan ini.

"Yen Jepun kekal tidak berubah pada sekitar 153.0 berbanding dolar AS, terendah dalam kira-kira tiga dekad.

"Mata wang serantau merosot berbanding dolar AS dengan dolar Singapura susut 0.6 peratus, tetapi ringgit meningkat 0.5 peratus melepasi paras 4.77 selepas dagangan dibuka semula.

"Yuan China pula jatuh 0.2 peratus di tengah-tengah jangkaan bahawa People's Bank of China (PBOC) membiarkan kadar pinjaman jangka sederhana 1-tahun tidak berubah," katanya.

Berita Harian X