Rabu, 10 April 2024 | 10:02am
Gambar fail. ATM Maybank. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Gambar fail. ATM Maybank. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Gangguan khidmat perbankan, Maybank mohon maaf

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh pelanggannya akibat isu yang tidak dijangka dan ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan pemahaman pelanggannya.

Bank terbesar Malaysia itu dalam satu kenyataan semalam berkata, ia juga ingin memaklumkan bahawa pada masa ini semua perkhidmatan dan aplikasi beroperasi seperti biasa.

Pada minggu lalu, pengguna Maybank mengeluh tentang gangguan perkhidmatan perbankan bank itu yang menjejaskan perkhidmatan, malah didakwa sehingga menyebabkan kesesakan di tempat letak kereta di pusat beli-belah.

"Pada 5 April 2024 sekitar jam 9.20 malam, Maybank mengalami gangguan perkhidmatan yang menjejaskan urusan kad debit, perbankan dalam talian dan perkhidmatan ATM kami.

"Isu ini telah menghalang pelanggan daripada membuat pembayaran dalam talian serta di premis perniagaan untuk sementara waktu.

"Sejurus selepas menyedari isu itu, pasukan teknikal kami telah berusaha untuk menyelesaikan dan memulihkan perkhidmatan secepat mungkin," kata kenyataan itu.

Menurutnya lagi, perkhidmatan yang terjejas telah beransur pulih dan beroperasi dengan sepenuhnya pada jam 11:34 malam.

"Semua transaksi pelanggan juga telah diurus dan diselesaikan. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan kami akibat isu yang tidak dijangka ini dan ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan pemahaman mereka.

"Kami juga ingin memaklumkan bahawa pada masa ini kesemua perkhidmatan dan aplikasi beroperasi seperti biasa," katanya.

Katanya, sekiranya pelanggan memerlukan sebarang bantuan, mereka boleh menghubungi Khidmat Pelanggan kami melalui PM (Mesej Peribadi) di media sosial atau talian 1-300-88-6688.

"Dalam era digital hari ini, Maybank memahami bahawa kebolehpercayaan dan keselamatan sistem pembayaran elektronik adalah amat penting.

"Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami tentang komitmen berterusan Maybank dalam menjana pengalaman dan kepuasan pelanggan bertahap tinggi," tambah kenyataan itu.

Berita Harian X