Isnin, 8 April 2024 | 1:58pm
Manfaat rasionalisasi subsidi bahan api berlipat kali ganda jika kerajaan menyalurkannya ke dalam usaha niaga yang produktif -NSTP/ASWADI ALIAS.
Manfaat rasionalisasi subsidi bahan api berlipat kali ganda jika kerajaan menyalurkannya ke dalam usaha niaga yang produktif -NSTP/ASWADI ALIAS.

B40, sebahagian M40 dijangka dapat bantuan subsidi bahan api - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kumpulan B40 dan sebahagian M40 dijangka menerima bantuan tunai jika rasionalisasi subsidi bahan api dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini.

Ketua Penyelidik TA Securities, Kaladher Govindan, berkata kumpulan B40 dan separuh daripada M40 wajar menerima bantuan tunai daripada kerajaan untuk meneutralkan impak daripada kenaikan harga bahan api seandainya ia diapungkan.

"Bagi kumpulan berpendapatan tinggi yang terkesan, mungkin terdapat sedikit perubahan dalam tabiat penggunaan mereka pada tempoh awal.

"Ia mungkin tidak berterusan kerana mereka menyedari kesan (pengapungan harga bahan api) terhadap kuasa beli mereka adalah kecil memandangkan ekonomi yang berkembang dan pasaran buruh yang kukuh menghasilkan pertumbuhan pendapatan lebih tinggi," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kaladher memberikan contoh, setiap kenaikan 40 sen daripada anggaran kenaikan 20 peratus harga semasa RON95 pada RM2.015 seliter, seorang pengguna yang secara purata membelanjakan RM300 setiap bulan untuk petrol akan menanggung tambahan RM60 dalam perbelanjaan bulanan mereka.

"Kenaikan itu akan jauh lebih kecil bagi mereka yang menggunakan motosikal, terutamanya golongan B40. Selain itu, dalam jangka masa panjang, manfaatnya akan berlipat kali ganda jika kerajaan menyalurkannya simpanan ke dalam usaha niaga yang produktif.

"Tugas penting bagi kerajaan dalam kenaikan harga ini adalah untuk memastikan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang yang betul untuk mencegah peniaga dan syarikat yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menaikkan harga produk dan perkhidmatan mereka sewenang-wenangnya," katanya.

Sementara itu, Kaladher berkata, kenaikan harga minyak mentah dunia sekarang menyebabkan pihaknya mengekalkan jangkaan bahawa pelan rasionalisasi subsidi bahan api yang disasarkan kerajaan akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata, ketidakpastian terhadap kuantum kenaikan harga bahan api di pam dan implikasinya terhadap penggunaan keseluruhan dan inflasi mungkin terus membelenggu pelabur, yang bimbang kenaikan terlalu besar akan menjejaskan ekonomi secara negatif.

"Berdasarkan pengiraan kami, setiap kenaikan 10 sen seliter harga di pam akan meningkatkan inflasi sebanyak 0.2 mata peratusan.

"Bagaimanapun, kami percaya kenaikan harga di pam akan dilaksanakan secara beransur-ansur, dengan kemungkinan dapat penjimatan tahunan sekitar RM10 bilion (jika anggaran kenaikan 40 sen seliter untuk RON95).

"Langkah ini (rasionalisasi bahan api) akan disasarkan kepada mereka dalam kumpulan T20 yang menikmati kira-kira 53 peratus daripada subsidi bahan api," katanya.

Menjelaskan perkembangan sekarang, Kaladher berkata ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat menambah kepada tekanan kerana kenaikan harga minyak mentah memberikan tekanan terhadap harga barangan dan perkhidmatan.

"Harga minyak mentah meningkat selepas beberapa siri laporan pada minggu lalu menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan, di tengah-tengah permintaan yang bertambah baik," katanya.

Kaladher berkata, krisis utama ialah serangan dron Ukraine pada Selasa lalu ke atas loji penapisan minyak ketiga terbesar Russia, Taneco, unit penapisan utama yang memproses kira-kira 155,000 tong minyak mentah sehari, hampir separuh daripada kapasiti harian loji penapisan sebanyak 340,000 tong.

Katanya, Ukraine pernah menyerang kilang penapisan Russia sebelum ini dan kerosakan itu boleh terus memperlahankan sumber pendapatan dan menjejaskan ekonominya.

"Ini telah memaksa Russia menyekat eksport produk minyak bertapis untuk memenuhi permintaan dalam negeri dan pemanjangan (sekatan) boleh menjejaskan pasaran minyak global," katanya.

Berita Harian X