Khamis, 4 April 2024 | 4:06pm
Gambar fail. Semikonduktor dan cip. - Reuters
Gambar fail. Semikonduktor dan cip. - Reuters

Eksport semikonduktor dijangka lebih baik pada tahun ini

KUALA LUMPUR: Eksport semikonduktor tahun ini dijangka lebih baik berbanding jumlah jualan yang mencecah RM575 bilion pada 2023, disokong sebahagian besarnya oleh langkah penempatan semula dan pelaburan di Malaysia oleh syarikat global terkenal.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai berkata 20 peratus daripada eksport dihantar ke Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pembekal terbesarnya.

Malaysia yang mempunyai 7.0 peratus bahagian pasaran global, berada pada kedudukan keenam sebagai pengeksport semikonduktor dunia.

Sektor semikonduktor tempatan juga menunjukkan daya tahannya apabila eksport hanya merosot tiga peratus daripada RM595 bilion pada 2022 ketika jualan industri global susut 8.2 peratus.

"Jika Malaysia mahu mengekalkan kedudukan ini, ia perlu mengeksport bernilai RM1.2 trilion menjelang 2030 – iaitu hampir dua kali ganda (daripada RM575 bilion pada 2023) kerana ketika ini semua pihak sedang membina kilang fabrikasi wafer di seluruh dunia," katanya.

Wafer dalam elektronik (juga dipanggil potongan atau substrat) ialah satu potongan nipis bahan semikonduktor, manakala fabrikasi wafer melibatkan proses berurutan berulang untuk menghasilkan litar elektrik atau fotonik lengkap pada wafer semikonduktor.

Wong bagaimanapun berkata Malaysia turut berhadapan saingan negara-negara serantau seperti Vietnam, Thailand dan Filipina dan India apabila mereka turut terlibat dalam penempatan semula dan meneroka perniagaan cip, mengambil kesempatan atas ketegangan perdagangan AS-China.

Berita baiknya ialah Malaysia kekal menyerlah berikutan nama-nama besar yang telah melabur di sini, seperti Intel, menyatakan hasratnya untuk melabur sebanyak AS$7 bilion, AT&S 1.7 bilion euro, dan Infineon 5 bilion euro.

Ini tidak termasuk syarikat dengan pelaburan lebih kecil yang masing-masing melabur antara RM1 bilion dan RM2 bilion, katanya.

Wong berkata firma semikonduktor Austria AT&S membuka kilangnya di Kulim, Kedah pada Januari 2024 bagi menghasilkan substrat litar bersepadu (IC) untuk cip mikro generasi akan datang.

Sementara itu, mengenai fabrikasi wafer, Intel mengumumkan pembukaan dua kilang fabrikasi di Ohio, dua di Arizona (AS) dan satu lagi di Jerman. Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC) turut mengumumkan rancangannya untuk pembukaan kilang fabrikasi di Arizona, yang kedua di sana dan merasmikan kilang pertamanya di Jepun tahun ini.

Samsung dan syarikat China juga merancang untuk membina kilang yang canggih, kata Wong.

Beliau berkata firma-firma AS, Kesatuan Eropah, Korea Selatan, Jepun, dan China, masing-masing berlumba-lumba membuat pelaburan bagi mengembangkan kapasiti kerana mereka bersaing untuk memanfaatkan pertumbuhan ini. – Bernama

Berita Harian X