Khamis, 4 April 2024 | 3:06pm
Lonjakan harga emas dipacu jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan tahun ini - Foto AFP
Lonjakan harga emas dipacu jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan tahun ini - Foto AFP

Harga emas pecah rekod tertinggi RM351.33 segram

HONG KONG: Harga emas mencatatkan rekod tertinggi apabila melepasi paras AS$2,300 (RM10,927.50) seauns atau RM351.33 segram.

Lonjakan harga aset selamat itu dipacu jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) tahun ini, selain disokong ketegangan geopolitik.

Harga emas telah mencatatkan beberapa rekod baharu sejak beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan tindakan Fed yang menunjukkan bahawa ia akan mula melonggarkan dasar monetari, sekali gus ng menjadikannya lebih menarik kepada pelabur.

Popularitinya sebagai aset pelindungan yang selamat pada masa kegawatan juga telah memberikan banyak sokongan, dengan peniaga resah dengan krisis Asia Barat dan perang yang berterusan di Ukraine.

Menurut Bloomberg News, harga emas mencecah AS$2,304.96 (RM10,951.10) seauns atau RM352.09 segram, selepas Pengerusi Fed, Jerome Powell dilaporkan berkata, ia mungkin sesuai untuk mengurangkan kos pinjaman 'pada satu ketika tahun ini'.

Semua tertumpu kepada keluaran angka pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan diumumkan pada hujung minggu, dengan bacaan yang lemah berkemungkinan memberi ruang kepada Fed untuk mengurangkan kadar lebih awal.

Sementara itu, harga minyak mencecah paras kemuncak baharu dalam tempoh lima bulan berikutan ketegangan di Asia Barat dan gesaan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) supaya ahlinya mengekalkan strategi untuk mengurangkan pengeluaran.

Harga minyak terus meningkat dengan minyak mentah Brent ditutup pada AS$90 setong, ketika pakar OPEC bertemu untuk berbincang melanjutkan pemotongan bekalan.

"Peningkatan risiko geopolitik dikaitkan dengan konflik memuncak di Asia Barat, pengurangan bekalan OPEC dan data lebih baik dari China membantu meningkatkan sentimen bulis buat masa sekarang," kata Penganalisis TickMill Group, James Harte.

-AFP

Berita Harian X