Isnin, 1 April 2024 | 12:31pm
Cadangan laluan Kereta Api Trans-Borneo (TBR) oleh Brunergy Utama.
Cadangan laluan Kereta Api Trans-Borneo (TBR) oleh Brunergy Utama.

Pembangunan kereta api laju Trans-Borneo wajar dilaksana - RHB Investment

KUALA LUMPUR: Rancangan pembinaan Kereta Api Trans-Borneo (TBR), rangkaian kereta api berkelajuan tinggi pertama di Borneo yang menghubungkan Kalimantan, Indonesia; Sarawak; Sabah; dan Brunei oleh Brunergy Utama adalah wajar selaras dengan pembinaan laluan kereta api Kalimantan, Indonesia yang bermula 2019.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata TBR yang akan dilaksanakan melalui dua fasa yang membabitkan laluan sepanjang 1,620 kilometer (km) dan anggaran kos mencecah AS$70 bilion (RM330.54 bilion) dijangka mengembangkan lagi jajaran sehingga sepanjang 2,428 km melalui beberapa fasa dan meliputi destinasi seperti Kalimantan Utara dan Pontianak.

"Jika Sarawak, Sabah, dan Brunei tidak mengorak langkah, ketiga-tiganya akan kehilangan peluang besar untuk meraih manfaat daripada aliran rentas sempadan yang lebih baik apabila Indonesia menubuhkan ibu kota baharunya di Kalimantan.

"Untuk makluman, Kerajaan Brunei belum memberi pengesahan rasmi untuk projek ini, tetapi rancangan untuk membina TBR ini berada dalam pengetahuannya," katanya dalam nota penyelidikan.

Mengulas butiran lanjut projek TBR, Adam berkata, fasa pertama akan menghubungkan bandar dari pantai barat ke pantai timur, bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah, yang menjadi kawasan tumpuan ekonomi.

Sementara itu, menurut Brunergy Utama, fasa kedua pula membabitkan kawasan Kalimantan Utara dan Timur yang menghubungkan laluan utama dengan Samarinda dan sehingga ke ibu kota baharu Indonesia iaitu Nusantara.

"Empat terminal akan dibina untuk projek ini sebagai hab utama untuk pengangkutan awam, dengan 24 stesen ditempatkan di seluruh pulau itu," katanya.

Beliau berkata, pembangunan TBR bukanlah berita baharu buat Malaysia memandangkan pada Oktober 2023, ia mengumumkan bahawa ia akan membiayai tinjauan lapangan untuk mengkaji kebolehlaksanaan pembinaan projek terbabit.

"Setakat ini, Kerajaan Sarawak dan Sabah masih belum dimaklumkan secara rasmi mengenai cadangan TBR oleh Brunergy Utama.

"Unit Perancangan Ekonomi masih sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk membangunkan rangkaian kereta api bagi menghubungkan Sarawak dengan kawasan lain di Borneo," katanya.

RHB Investment Bank menjangkakan pelaksanaan projek itu tidak akan bermula serta-merta memandangkan ia perlu dipersetujui oleh Malaysia, Brunei dan Indonesia.

"Tambahan lagi, Kerajaan Malaysia sedang sibuk dengan pelaksanaan projek mega akan datang iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

"Namun, kami tidak menolak kemungkinan pelancaran projek akan dipercepatkan jika ia dibiayai oleh sektor swasta," kata Adam.

Berita Harian X