Jumaat, 29 March 2024 | 11:56am
Subsidi bersasar bagi petrol dan diesel dijangka diberikan mengikut tiga mekanisme -NSTP/ASWADI ALIAS
Subsidi bersasar bagi petrol dan diesel dijangka diberikan mengikut tiga mekanisme -NSTP/ASWADI ALIAS

Pengapungan harga bahan api beri manfaat kepada ekonomi

KUALA LUMPUR: Reformasi subsidi menerusi pengapungan harga api boleh memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia dalam jangka pendek dan panjang dengan beralih daripada bantuan secara menyeluruh kepada kaedah penyasaran untuk isi rumah serta syarikat, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis BIMB Securities Research, Amiratul Husna, berkata peralihan kepada subsidi bersasar bukan sahaja mengurangkan pembaziran, tetapi juga menggalakkan peningkatan produktiviti dan memajukan rantaian nilai, yang membawa kepada penciptaan pendapatan tinggi serta pekerjaan berintensifkan pengetahuan.

"Ia membolehkan kerajaan memperuntukkan sumber untuk membiayai perbelanjaan awam yang penting terhadap perlindungan sosial, pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur.

"Langkah penyasaran ini boleh membabitkan kenaikan harga petrol dan diesel secara beransur-ansur supaya sejajar dengan kadar pasaran, dengan itu ia akan mengecualikan pekerja asing dan golongan kaya daripada subsidi ini di bawah sistem yang menyeluruh.

"Selain itu, harga pasaran yang lebih tinggi akan mengurangkan isu-isu penyeludupan dan ketirisan yang disebabkan oleh larangan yang tidak berkesan terhadap penjualan petrol dan diesel kepada kenderaan berdaftar asing di stesen minyak," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini menyatakan bahawa subsidi bersasar bagi petrol dan diesel dijangka diberikan mengikut tiga mekanisme iaitu pendapatan boleh guna bersih individu, pendapatan boleh guna bersih isi rumah menerusi perlindungan sosial dan pendekatan pendapatan tergabung, menggunakan sistem kad subsidi.

Amiratul berkata, rancangan rasionalisasi subsidi bahan api pada separuh kedua 2024 dijangka menaikkan unjuran inflasi kepada 2.7 peratus disebabkan oleh sumbangan besar bahan api kepada Indeks Harga Pengguna (IHP).

Katanya, bahan api adalah komponen dalam sub-indeks pengangkutan, yang memegang 14.6 peratus pemberat dalam IHP.

"Impaknya akan pelbagai bergantung kepada tahap kepantasan rasionalisasi subsidi. Walaupun butiran mengenai rasionalisasi masih belum disediakan, kerajaan telah memberi jaminan bahawa ia akan diteruskan secara berperingkat.

"Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying memberi jaminan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar secara berfasa akan bergantung kepada tahap kesediaan dan daya maju, dengan tumpuan untuk mengekalkan kos sara hidup rakyat tanpa gangguan," katanya.

Harga runcit petrol Malaysia pada RM2.05 seliter dan diesel pada RM2.15 seliter adalah yang terendah di rantau ini disebabkan oleh subsidi menyeluruh.

Sebagai perbandingan, harga bahan api di Singapura adalah jauh lebih tinggi, dengan RON95 berharga RM9.71 seliter manakala diesel RM9.05 seliter.

Justeru, kerajaan mengesyaki potensi ketirisan disebabkan oleh kegiatan penyeludupan diesel pada 2022.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Malaysia sedang menangani isu serius ketirisan subsidi diesel, dengan kebimbangan bahawa pihak yang tidak layak masih mendapat manfaat daripada subsidi.

Merujuk kepada penggunaan diesel bersubsidi, beliau menyatakan bahawa sebelum pandemik COVID-19, jumlahnya adalah kira-kira 6.1 bilion liter, namun kini melonjak kepada 10.8 bilion.

Lonjakan sebanyak 70 peratus ini menunjukkan kemungkinan besar bahawa subsidi telah dialihkan kepada sektor-sektor yang tidak layak.

Kerajaan menyasar untuk mengurangkan separuh subsidi diesel yang tahun lalu mencecah RM20 bilion menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 bagi pengangkutan darat.

Mengulas lanjut, Amiratul berkata berkata terdapat harapan bahawa potensi penjimatan dapat diagihkan semula kepada golongan berpendapatan rendah melalui Pangkalan Data Utama (PADU), yang membolehkan mereka membiayai kos bahan api yang lebih tinggi.

"Kadar pendaftaran PADU masih rendah, menimbulkan risiko kebocoran di mana pemindahan tunai mungkin tidak sampai kepada individu yang tidak dilindungi oleh sistem ini. Kejayaan PADU adalah penting untuk keberkesanan dasar ini," katanya.

Berita Harian X