Khamis, 28 March 2024 | 12:07pm
Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia -NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia -NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Masih ada keperluan tampung subsidi produk petroleum

KUALA LUMPUR: Kerajaan melihat masih terdapat keperluan untuk terus menampung subsidi ke atas produk petroleum bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak global dalam keadaan harga minyak dunia masih kekal tidak menentu ketika ini.

Justeru, Kementerian Kewangan (MOF) berkata, sehingga kini kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan.

"Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," kata kementerian itu dalam jawapan pertanyaan lisan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching di Dewan Rakyat.

MOF berkata, pada 2023, kerajaan telah membelanjakan lebih RM80 bilion bagi keseluruhan subsidi, insentif dan

bantuan termasuk subsidi pertanian, bantuan tunai dan jumlah terbesar perbelanjaan adalah bagi tujuan subsidi kepenggunaan iaitu sebanyak RM50 bilion termasuk subsidi petrol, diesel dan gas cecair memasak, skim subsidi minyak masak, subsidi bil elektrik dan subsidi harga ayam dan telur.

Ia berkata, mekanisme pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar masih dalam pertimbangan dan dijangka tidak akan meningkatkan kos kepada industri sedia ada.

Namun, katanya, kerajaan tetap menitik berat aspek pelaksanaan dan komunikasi yang berkesan kepada pihak industri agar tidak berlaku kejutan kepada ekonomi.

"Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini akan dibuat secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan berasaskan kepada model yang bersesuaian dan kebolehlaksanaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas," katanya.

MOF berkata, sebagaimana yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024, kerajaan akan menumpukan kepada penyasaran subsidi diesel terlebih dulu melalui kaedah dan mekanisme yang telah diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup pada 6 Mac 2024.

Ia berkata, perluasan pemberian di bawah Sistem Kawalan Subsidi Diesel 2.0 (SKDS 2.0) kepada sembilan jenis kenderaan barangan telah dibuka untuk permohonan bermula 7 Mac 2024 dan dijangka memanfaatkan lebih 260

ribu kenderaan.

Katanya, sejak 8 Mac 2024 hingga 18 Mac 2024, sejumlah lebih 7,100 syarikat dengan lebih 41,700 bilangan kenderaan telah berjaya mendaftar dalam SKDS 2.0.

"Justeru, kerajaan menyeru agar semua pemilik kenderaan yang layak, berdaftar di bawah SKDS 2.0 agar dapat

terus menikmati subsidi di masa hadapan," katanya.

Mengulas lanjut, MOF berkata, jumlah perbelanjaan subsidi diesel pada 2023 telah mencecah RM14.3 bilion di mana jumlah penggunaan telah meningkat kepada 10.8 bilion liter setahun berbanding 6.1 bilion liter pada tahun

2019 (sebelum pandemik COVID-19).

Katanya, peningkatan jumlah penggunaan sebanyak 70 peratus itu dilihat tidak selari dengan pertambahan bilangan kenderaan diesel yang hanya mencatatkan peningkatan kurang tiga peratus.

"Ini mengukuhkan lagi dakwaan bahawa ketirisan subsidi diesel adalah sangat besar. Justeru, adalah menjadi keutamaan kerajaan pada ketika ini supaya menstruktur semula program-program subsidi/intensif/bantuan supaya ia dapat diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

"Ketika ini semua kenderaan diesel dalam kategori pengangkutan awam di bawah SKDS sedia ada termasuk van/bas sekolah telah menikmati harga diesel bersubsidi pada kadar RM1.88 seliter manakala golongan nelayan menerima subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter.

"Kedua-dua kategori ini akan kekal menikmati harga diesel itu dan tidak akan terbabit dalam Program Pemberian Subsidi Diesel secara bersasar," katanya.

Di samping itu, MOF berkata, satu lagi strategi penting yang diberikan penekanan ialah penguatkuasaan, yang adalah elemen terpenting dalam memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya.

Ia berkata, pelbagai Ops dilaksanakan seperti Ops Kesan, Ops Catut, Ops Terjah, Ops Tiris, Ops Menu, Ops Pasar dan Ops Samar bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan mengekang elemen pencatutan dalam pasaran.

Berita Harian X