Isnin, 25 March 2024 | 1:54pm
Permodalan pasaran sekuriti patuh Syariah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.25 peratus - Gambar hiasan
Permodalan pasaran sekuriti patuh Syariah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.25 peratus - Gambar hiasan

Pasaran modal Islam berkembang 4.5 peratus kepada RM2.43 trilion

KUALA LUMPUR: Pasaran Modal Islam (ICM) mencatatkan pertumbuhan yang stabil, berkembang sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada RM2.32 trilion pada 2022 kepada RM2.43 trilion pada akhir 2023.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam Laporan Tahunan 2023 yang dikeluarkan hari ini, ICM kekal sebagai komponen utama pasaran modal Malaysia, yang menyumbang 63.73 peratus kepada keseluruhan pasaran modal.

ICM terdiri daripada sekuriti patuh Syariah, dengan jumlah permodalan pasaran RM1.16 trilion, dan sukuk, dengan jumlah belum tebus sebanyak RM1.27 trilion.

Menurut SC, pada Disember 2023, bilangan sekuriti patuh Syariah meningkat daripada 789 kepada 811, yang merangkumi 81.51 peratus daripada jumlah 995 sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia.

"Permodalan pasaran sekuriti patuh Syariah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.25 peratus berbanding penghujung 2022, pada RM1.16 trilion atau 64.32 peratus daripada jumlah keseluruhan permodalan pasaran pada Disember 2023," katanya.

Menurutnya, dalam pasaran sukuk pula, terbitan sukuk korporat mewakili 77.25 peratus (2022: 81.66 peratus) daripada jumlah terbitan bon korporat dan sukuk manakala sukuk korporat belum tebus menyumbang 83.96 peratus (2022: 82.82 peratus) daripada jumlah bon korporat dan sukuk belum tebus.

Suruhanjaya itu berkata, jumlah terbitan sukuk pada 2023 mewakili 60.84 peratus (2022: 68.23 peratus) daripada jumlah terbitan bon dan sukuk manakala jumlah sukuk belum tebus mewakili 63.20 peratus (2022: 63.27 peratus) daripada jumlah bon dan sukuk belum tebus.

Katanya sejumlah 15 penerbit menerbitkan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) pada 2023, menjadikan jumlah penerbit sukuk SRI kepada 34 sejak 2015.

"Terbitan sukuk SRI korporat pada 2023 berjumlah RM8.68 bilion, iaitu 9.50 peratus daripada jumlah terbitan sukuk korporat manakala sukuk korporat SRI belum tebus meningkat kepada RM26.32 bilion pada Disember 2023 (2022: RM17.93 billion), yang mewakili 3.75 peratus daripada jumlah sukuk korporat belum tebus," katanya.

Bagi pengurusan dana Islam pula, pada Disember 2023, aset di bawah pengurusan (AUM) Islam berjumlah RM226.14 bilion, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 9.85 peratus daripada RM205.86 bilion pada penghujung 2022.

Menurut SC, bilangan amaun skim pelaburan kolektif (CIS) Islam yang terdiri daripada dana unit amanah (UTF), dana borong, skim persaraan swasta (PRS), amanah pelaburan hartanah (REIT) dan dana dagangan bursa (ETF) Islam kepada 415 pada Disember 2023, termasuk 28 dana SRI Islam.

"Selanjutnya, terdapat 59 syarikat pengurusan dana yang menguruskan dana Islam, merangkumi 24 syarikat pengurusan dana Islam sepenuhnya dan 35 syarikat pengurusan dana konvensional dengan produk dan perkhidmatan Islam pada Disember 2023," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X