Isnin, 25 March 2024 | 12:51pm
SC telah meningkatkan usaha untuk melindungi pelabur -NSTP/ASYRAF HAMZAH
SC telah meningkatkan usaha untuk melindungi pelabur -NSTP/ASYRAF HAMZAH

Saiz pasaran modal Malaysia berkembang kepada RM3.8 trilion

KUALA LUMPUR: Pasaran modal Malaysia kekal teratur dengan saiznya terus berkembang kepada RM3.8 trilion pada 2023, meningkat 5.6 peratus berbanding RM3.6 trilion pada 2022.

Prestasi kukuh itu didorong oleh pertumbuhan dalam permodalan pasaran ekuiti serta jumlah bon dan sukuk belum tebus.

Industri pengurusan dana juga berkembang pada 2023 dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat kepada paras tertinggi baharu sebanyak RM975.5 bilion pada 2023 berikutan peruntukan besar dalam pasaran asing.

Segmen unit amanah kekal sebagai sumber dana terbesar yang terdiri daripada 51.3 peratus daripada jumlah AUM.

Namun, jumlah dana yang dikumpul dalam pasaran modal menyederhana kepada RM127.7 bilion pada 2023, berbanding pengumpulan dana yang tinggi sebanyak RM179.4 bilion pada 2022.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin, berkata prestasi pasaran modal yang kukuh dicapai meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar.

"Pasaran modal Malaysia kekal kukuh. Saiz pasaran modal berkembang 5.6 peratus kepada RM3.8 trilion pada 2023 dan AUM industri pengurusan dana meningkat ke paras tertinggi baharu RM975.5 bilion," katanya pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2023 di sini, hari ini.

Dalam pasaran ekuiti, Awang Adek berkata, terbitan utama bertambah baik kepada RM3.6 bilion pada 2023 berbanding RM3.5 bilion pada 2022 melalui 32 tawaran awam awal (IPO), manakala aktiviti pengumpulan dana sekunder menurun kepada RM5.8 bilion berbanding RM22.6 bilion pada 2022 di tengah-tengah tindakan korporat yang lebih rendah sepanjang 2023.

Beliau berkata, pasaran ekuiti domestik mencatatkan prestasi bercampur-campur pada 2023 dengan peralihan positif sentimen dilihat ke arah segmen bermodal pertengahan dan kecil.

"Jumlah dan nilai dagangan harian bertambah baik terutamanya pada separuh kedua 2023, mungkin disebabkan pengurangan duti setem berkuat kuasa Julai 2023," katanya.

Tahun lalu juga memperlihatkan aktiviti pembiayaan alternatif mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan dan terus menyokong keperluan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dengan jumlah dana yang diperoleh berjumlah RM3.8 bilion berbanding RM3 bilion pada 2022.

Ekuiti pendanaan ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) telah membolehkan lebih 15,000 PMKS mengumpul lebih RM6 bilion sejak penubuhannya.

Pasaran modal Islam Malaysia (ICM) berkembang sebanyak 4.5 peratus kepada RM2.4 trilion pada 2023, dengan sukuk terkumpul berkembang sebanyak 7.4 peratus dan ekuiti patuh Syariah sebanyak 1.5 peratus.

Sementara itu, pada 2023, SC memperoleh lima sabitan jenayah dan denda sebanyak RM8.7 juta, bersama RM4.8 juta penalti sivil yang dikenakan oleh mahkamah.

SC juga melunaskan RM13.8 juta menurut penyelesaian kawal selia yang dibuat dengan enam orang dalam kes berasingan.

Selain itu, 140 sekatan pentadbiran telah dikenakan, menyebabkan SC mengenakan denda dan penalti berjumlah RM19.5 juta.

SC terus mengekalkan tumpuan yang kukuh untuk menggalakkan tadbir urus korporat yang baik (CG), dengan SC mengekalkan kedudukan kelimanya dalam kalangan 12 pasaran Asia-Pasifik dalam Penilaian Tadbir Urus Korporat ACGA 2023.

Ia menerima sebanyak 3,262 aduan dan pertanyaan mengenai penipuan dan aktiviti tidak berlesen pada 2023, peningkatan tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu dari 2019 hingga 2023.

SC juga telah meningkatkan usaha untuk melindungi pelabur dan memerangi penipuan dengan menubuhkan Pasukan Petugas dalaman untuk menyelaraskan campur tangan anti-penipuan, mempertingkatkan halaman Senarai Peringatan Pelabur dan membangunkan platform seperti 'Investment Checker' (Pemeriksa Pelaburan) dan Meter Penipuan untuk pelabur.

Selain itu, penyertaan wanita dalam lembaga pengarah syarikat senaraian awam (PLC) dan pengantara telah bertambah baik, dengan wanita kini memegang 30.7 peratus jawatan lembaga pengarah, mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia.

Berita Harian X