Isnin, 25 March 2024 | 10:17am
Perbelanjaan pengguna tampak suram dan terdapat potensi impak inflasi akan timbul akibat pewajaran subsidi serta cukai penggunaan baharu - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Perbelanjaan pengguna tampak suram dan terdapat potensi impak inflasi akan timbul akibat pewajaran subsidi serta cukai penggunaan baharu - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Bantuan kerajaan sokong perbelanjaan pengguna berpendapatan rendah

KUALA LUMPUR: Pasaran pekerjaan yang baik dan bantuan yang terus disalurkan kerajaan kepada kumpulan berpendapatan lebih rendah akan membantu keseluruhan perbelanjaan serta permintaan pengguna untuk barangan keperluan asasi, demikian menurut penganalisis.

RHB Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, unjuran itu dibuat meskipun ia meramalkan perbelanjaan pengguna tidak begitu rancak pada masa akan datang kerana paras pendapatan memakan masa untuk menyamai kos sara hidup.

Selain itu, katanya pemulihan ketibaan pelancong yang kukuh dijangka akan menjadi faktor pendorong buat sektor pengguna memberikan manfaat kepada syarikat peruncitan.

"Tambahan lagi, pengenalan Akaun 3 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberi kelonggaran untuk mengeluarkan simpanan mungkin dapat mendorong perbelanjaan bagi barangan bukan keperluan oleh pengguna tempatan.

"Namun begitu, kami tetap berpandangan bahawa sentimen sektor pengguna akan kekal suram sehinggalah penjelasan lanjut diberi mengenai pelaksanaan pelbagai langkah pewajaran subsidi dan cukai penggunaan baharu supaya pelabur dapat meramal kesan inflasi yang mungkin berlaku," katanya menerusi nota yang ditulis oleh penganalisis, Soong Wei Siang dan Tai Yu Jie.

Bank pelaburan itu berkata, keputusan kewangan syarikat berkaitan pengguna pada suku keempat 2023 tersasar daripada jangkaan ekoran perbelanjaan secara berhati-hati oleh pengguna, namun pemulihan margin untung kasar (GPM) dilihat membantu syarikat-syarikat pengeluar makanan kerana harga komoditi kian mereda.

Ia berkata, syarikat barangan asasi pengguna masih menerima permintaan yang teguh sementara GPM mencatat kenaikan kecil.

Katanya, hal ini demikian kerana tekanan kos input yang berkurangan, seiring dengan harga komoditi yang kian mereda.

"Walaupun perbelanjaan pengguna tampak suram dan terdapat potensi impak inflasi akan timbul akibat pewajaran subsidi dan cukai penggunaan baharu, kami berpendapat penilaian sektor telahpun mengambil kira risiko-risiko negatif ini dalam harga dan kes asas kami tidak mengandaikan pewajaran subsidi akan memalapkan perbelanjaan pengguna dengan ketara," katanya.

RHB Investment berkata, ia terus menyukai MR DIY disebabkan oleh asas kewangan syarikat itu yang kukuh untuk pertumbuhan dalam keadaan yang mencabar ini, manakala Guan Chong diketengahkan kerana permintaan telah menaikkan harga jualan purata (ASP).

"DXN pula diniagakan pada penilaian yang rendah meskipun ia mencatat perolehan dan dividen yang konsisten disebabkan oleh model perniagaannya yang berkesan.

"Akhir sekali, Focus Point patut terus merekodkan pertumbuhan yang mantap, disokong oleh pertambahan jumlah populasi rabun. Kami menanti-nantikan pemulihan mampan dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B) syarikat ini," katanya.

Berita Harian X