Ahad, 24 March 2024 | 12:02pm

SC arah tawaran saham Quantum Metal Exchange Inc kepada orang awam dihentikan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengarahkan Pengasas dan Pengarah Quantum Metal Exchange Inc (QMEI), Datuk Lim Khong Soon @ Lim Hock Seng, untuk segera menghentikan dan menamatkan penawaran saham QMEI kepada orang awam.

Pengawas pasaran modal itu dalam satu kenyataan menegaskan, tawaran saham QMEI, yang sedang berjalan, melanggar keperluan berkaitan di bawah undang-undang sekuriti.

"Arahan henti dan tamat dikeluarkan berikutan penemuan SC bahawa QMEI menawarkan sahamnya kepada masyarakat awam Malaysia, termasuk melalui laman web/platform Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) kepada ahli QMSB.

"Ini dilakukan tanpa mendapatkan pengiktirafan dan mendaftarkan dokumen pendedahan dengan SC, yang melanggar Seksyen 212 (5) Akta Pasaran Modal & Perkhidmatan 2007," kata kenyataan itu.

Susulan daripada itu, SC juga telah meletakkan QMEI dengan butiran berkaitannya pada Senarai Makluman Pelabur SC http://www.sc.com.my/investor-alert.

"Pelabur dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menilai tawaran pelaburan. Orang awam digesa melaporkan kepada SC jika mereka mendapat tawaran produk pasaran modal daripada individu yang mencurigakan dan tidak berlesen, di

[email protected] atau hubungi +603-6204 8999," katanya.

Berdasarkan latar belakang syarikat di laman webnya, Quantum Metal Exchange Inc (QMEI) ditubuhkan di New York pada 2021, dengan rancangan membangun dan memperoleh kapasiti fintech berasaskan bullion, memberi kuasa kepada orang dan perniagaan dari hulu hingga hilir industri logam berharga melalui teknologi canggih dan syarikat canggih penyelesaian.

QMEI merancang untuk fasilitasi produk pelaburan digital yang disokong oleh logam berharga, melalui penyelidikan dan pembangunan sistematik, dengan ekosistem universiti korporat yang menyokong yang akan dirancang untuk memungkinkan pertumbuhan global dan kelangsungan perniagaan yang berterusan.

Sehingga kini, ia telah menubuhkan anak syarikat di Malaysia, Singapura, Thailand, Australia, Indonesia dan Nigeria.

Berita Harian X