Rabu, 20 March 2024 | 3:06pm
Harga RON95 kini berada pada RM2.05 seliter dan diesel pada RM2.15 seliter -NSTP/AIZUDDIN SAAD
Harga RON95 kini berada pada RM2.05 seliter dan diesel pada RM2.15 seliter -NSTP/AIZUDDIN SAAD

Pengapungan harga RON95, diesel jimatkan RM29 bilion subsidi kerajaan

KUALA LUMPUR: Pengapungan mengikut harga pasaran bagi RON95 dan diesel boleh menjimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29 bilion.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, ia bermakna harga dijangka meningkat sebanyak 64 peratus bagi RON95 dan 61 peratus bagi diesel.

Setakat 20 Mac 2024, RON95 berada pada RM2.05 seliter dan diesel pada RM2.15 seliter.

Firma penyelidikan itu berkata, dengan ketiadaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pembaharuan subsidi kini lebih penting jika sasaran defisit fiskal Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 ingin dicapai.

"Kami membayangkan ini membabitkan bahan api diapungkan ke harga pasaran dan pada masa sama, memberi bantuan tunai kepada mereka yang telah dikenal pasti sebagai kumpulan sasaran dalam Pangkalan Data Utama (PADU).

"Langkah pengapungan (harga) bahan api akan membantu mengurangkan defisit fiskal tetapi memberi tekanan ke atas inflasi," katanya.

Anggaran HLIB menunjukkan bahawa langkah itu secara hipotesis boleh mengurangkan defisit fiskal daripada -4.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (sasaran 2024 kerajaan) kepada -2.8 peratus.

Subsidi dan bantuan sosial (S&SA) di Malaysia telah meningkat hampir tiga kali ganda daripada RM23 bilion pada 2010 kepada jangkaan RM64 bilion pada 2023 (paling tinggi RM67 bilion pada 2022).

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2022, Putrajaya membelanjakan RM55 bilion untuk subsidi pada tahun itu (meningkat 322 peratus dari tahun ke tahun dan 6.5 peratus lebih tinggi berbanding prapandemik).

Bahagian terbesar, sebanyak 82 peratus datang daripada produk petroleum, terutamanya RON95 dan diesel.

Penyelidikan HLIB berpendapat dengan rangka kerja yang lebih fokus, dana subsidi (memberi ikan) sebaliknya boleh diperuntukkan untuk meningkatkan DE (melengkapkan untuk menangkap ikan) yang mempunyai manfaat jangka panjang kepada rakyat.

"Penurunan harga bahan api secara buatan melalui subsidi telah mendorong penggunaan petrol per kapita Malaysia dan pelepasan pengangkutan menjadi yang tertinggi di ASEAN (tidak termasuk Brunei).

Di samping itu, struktur subsidi bahan api semasa tidak mencapai tahap yang betul kerana T20 menikmati 35 peratus daripadanya berbanding hanya 24 peratus oleh B40, satu kajian menunjukkan bahawa kumpulan pertama itu menggunakan 64 peratus lebih RON95 berbanding kumpulan kedua.

Harga siling di bawah harga pasaran sebenar juga membawa kepada masalah penyeludupan (terutamanya berleluasa untuk diesel), menyebabkan kebocoran dana subsidi, katanya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, sebelum ini berkata kerajaan akan melancarkan subsidi bersasar untuk RON95 pada separuh kedua 2024.

Beliau berkata, subsidi bersasar untuk petrol dan diesel akan dilaksanakan menggunakan tiga mekanisme iaitu pendapatan boleh guna bersih individu iaitu pendapatan isi rumah boleh guna bersih melalui perlindungan sosial atau skim bantuan dan gabungan pendapatan isi rumah dan individu, yang akan dilaksanakan menggunakan kad subsidi.

Berita Harian X