Selasa, 19 March 2024 | 2:20pm
Ibu kota baharu Nusantara akan dirasmikan pada 17 Ogos 2024 - Foto Reuters
Ibu kota baharu Nusantara akan dirasmikan pada 17 Ogos 2024 - Foto Reuters

Syarikat Malaysia digalak melabur di Kalimantan Timur

BALIKPAPAN: Syarikat-syarikat Malaysia harus mengambil peluang daripada prospek pelaburan di wilayah Kalimantan Timur, terutamanya di Samarinda dan Balikpapan berhampiran dengan ibu kota baharu Nusantara (IKN) yang akan datang, kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin.

"Terdapat banyak peluang untuk syarikat-syarikat Malaysia menyumbang kepada pembangunan IKN, seperti dengan menyediakan bahan-bahan binaan," kata beliau kepada Bernama ketika mengetuai delegasi dari kedutaan di Jakarta dan konsulat di Pontianak, di sini.

Duta itu kini berada di Pontianak dalam lawatan kerja tiga hari yang berakhir esok, dan beliau berhasrat untuk meneroka peluang bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi dan hubungan persahabatan di antara Malaysia dan Indonesia dalam rangka kerja ASEAN.

Beliau juga bercakap mengenai usaha untuk meningkatkan kesalinghubungan dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMB EAGA), termasuk laluan udara, darat dan laut, serta inisiatif seperti grid tenaga ASEAN.

Ahli-ahli delegasi termasuk Menteri Kedutaan, Hairul Reaza Haroun Al Rashid; Atase Pertahanan, Brigedier Jeneral Azrin Iskandar Zulkaply; Menteri Kaunselor (Ekonomi), Mohd Najeeb Abdullah dan Konsulat Jeneral Malaysia di Pontianak, Konsul Azizul Zekri Abd Rahim.

Semalam, Syed Md Hasrin mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Kalimantan Timur, yang diwakili oleh Setiausaha Wilayah Sri Wahyuni di Samarinda.

Pertemuan itu turut dihadiri wakil daripada Dewan Perniagaan Indonesia (KADIN) Samarinda.

Beliau juga bertemu dengan Datuk Bandar, Rahmad Mas'ud serta Ketua Jabatan Pelaburan dan Perkhidmatan Bersepadu Balikpapan, Hasbullah Helmi di Balikpapan.

Pertemuan itu juga menyaksikan perbincangan yang tertumpu kepada potensi perniagaan, pelaburan dan peluang perdagangan serta bagaimana wilayah itu boleh menjadi pintu masuk kepada IKN.

"Kami berharap dapat bekerjasama secara berkesan dan menemukan peluang-peluang pelaburan baharu," katanya sambil menambah bahawa kedutaan akan meneruskan penglibatannya dengan kerajaan wilayah.

Syed Md Hasrin menyatakan bahawa pelaburan untuk IKN mengalir melalui Balikpapan dalam jangka masa sederhana sebelum IKN mampu untuk berdikari.

Pada masa ini, beberapa syarikat Malaysia telah melabur di wilayah itu, khususnya dalam sektor perladangan kelapa sawit dan telekomunikasi.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan wilayah dan pihak berkuasa tempatan di Samarinda dan Balikpapan kerana menyokong syarikat-syarikat Malaysia untuk meneroka peluang pelaburan, melayan tetamu kenamaan Malaysia dan menjaga kepentingan pelabur Malaysia," katanya.

Sementara itu, Sri Wahyuni menekankan pentingnya tiga kawasan perindustrian, termasuk Kawasan Perindustrian Kariangau dan Zon Ekonomi Khas Trans Kalimantan Maloy Batuta, yang telah ditetapkan sebagai hab super untuk pelabur, dengan memenuhi pelbagai industri seperti kimia, penggerudian minyak, pemprosesan minyak sawit, mineral, gas dan arang batu.

"Kami mempelawa pelabur-pelabur Malaysia untuk mengambil bahagian di kawasan perindustrian ini," katanya.

IKN akan dirasmikan pada 17 Ogos 2024 sebagai ibu kota baharu menggantikan Jakarta, yang telah menjadi ibu kota sejak 1945.

Perasmian itu akan bertepatan dengan Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-79.

-BERNAMA

Berita Harian X