Isnin, 18 March 2024 | 9:26pm
HVGT akan meningkatkan asas cukai negara dengan mengenakan cukai ke atas mereka yang mampu -NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
HVGT akan meningkatkan asas cukai negara dengan mengenakan cukai ke atas mereka yang mampu -NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Cukai Barang Bernilai Tinggi di peringkat akhir sebelum dimuktamad

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan sedang dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan beberapa dasar berkenaan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT).

Dalam jawapan bertulis kepada Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Bharu) di Dewan Rakyat hari ini, Kementerian Kewangan memaklumkan antara dasar berkenaan adalah jenis barang yang akan dikenakan HVGT dan nilai ambang (threshold) penentuan barang bernilai tinggi.

"Dasar ini akan dikaji dan ditentukan dengan teliti dalam memastikan ia tidak memberi kesan tambahan kepada golongan berpendapatan rendah," katanya.

Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa HVGT yang sebelum ini dikenali sebagai Cukai Barangan Mewah akan ditentukan mengikut jenis dan kategori barang berdasarkan nilai ambang (threshold) harga barang.

Roslan meminta Menteri Kewangan menyatakan penjelasan mengenai Cukai Barangan Mewah ke atas barangan kemas untuk nilai cukai bagi setiap RM10,000 dan bagaimana ia memberi kesan kepada golongan M40 dan ke bawah.

Semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan HVGT untuk barangan mewah pada kadar antara lima hingga 10 peratus.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan bahawa langkah itu adalah untuk meningkatkan asas cukai negara dengan mengenakan cukai ke atas mereka yang mampu.

Kerajaan dijangka mengutip hasil cukai sebanyak RM700 juta setahun daripada pelaksanaan HVGT.

Berita Harian X