Isnin, 18 March 2024 | 2:12pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Harga minyak mentah diunjur AS$85 pada 2024, 2025 - Bank pelaburan

KUALA LUMPUR: Hong Leong Investment Bank (HLIB) menyatakan keyakinan terhadap sektor minyak dan gas (O&G) dengan mengunjurkan harga minyak mentah Brent mencecah AS$85 setong bagi 2024 dan 2025.

Justeru itu, bank pelaburan itu mengekalkan saranan wajaran tinggi terhadap sektor O&G, berdasarkan peningkatan harga minyak yang disokong oleh penurunan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroleum dan sekutunya (OPEC+), ketegangan geopolitik yang meningkat serta pertumbuhan pengeluaran yang lemah Brazil dan Amerika Syarikat (AS).

"Kami juga melihat bahawa peningkatan aktiviti huluan di seluruh dunia dan perbelanjaan modal (capex) PETRONAS untuk mengekalkan pengeluaran tempatan akan terus memberi manfaat kepada pemain minyak dan gas, perkhidmatan dan peralatan (OGSE) tempatan," kata HLIB dalam nota penyelidikan hari ini.

Pilihan utama HLIB dengan pengesyoran "beli" ialah Dialog dengan harga sasaran (TP) RM2.66, Armada (TP: 75 sen) dan Bunga Raya (TP: RM3.20).

RHB Investment Bank (RHB IB), yang menganggarkan minyak mentah pada harga AS$85 hingga AS$80 setong bagi 2024-2025, berkata walaupun Petronas menjangkakan harga minyak jatuh pada 2024 ia kekal positif terhadap peserta perkhidmatan huluan itu.

Ini kerana aktiviti berterusan dalam segmen itu harus disokong oleh peruntukan perbelanjaan modal (CAPEX) syarikat minyak nasional itu berjumlah RM50 bilion hingga RM60 bilion (2023: RM52.8 billion), meskipun suku pertama lazimnya merupakan suku musim yang lemah ekoran musim tengkujuh.

RHB IB berkata harga minyak mungkin melonjak dalam masa terdekat jika ketegangan geopolitik terus meningkat.

Ia berkata pelanjutan penurunan pengeluaran secara sukarela sebanyak 2.2 juta tong sehari oleh OPEC+ hingga suku kedua 2024 akan terus menstabilkan pasaran minyak, justeru ia mengekalkan pengesyoran wajaran tinggi terhadap sektor itu.

Sementara itu, BMI Country Risk & Industry Research (BMI) mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent tidak berubah pada AS$85 setong pada 2024, meningkat daripada AS$82 setong pada 2023.

BMI dalam nota penyelidikannya mengekalkan penilaian terhadap prestasi harga yang lebih kukuh bagi separuh pertama tahun ini, berikutan persekitaran makroekonomi yang memulih menyokong sentimen dan meningkatkan permintaan, manakala pertumbuhan pengeluaran AS yang perlahan dan sokongan yang berterusan daripada OPEC+ mengekalkan bekalan.

Ia mengunjurkan permintaan minyak global tahun ini bercampur-campur dengan kebanyakan pasaran maju mengalami penurunan manakala pasaran pesat membangun terus berkembang. – Bernama

Berita Harian X