Ahad, 17 March 2024 | 1:05pm
Reezal Merican (tiga dari kiri) melawat ruang pameran syarikat Malaysia di Gulfood 2024 - Gambar ihsan MATRADE
Reezal Merican (tiga dari kiri) melawat ruang pameran syarikat Malaysia di Gulfood 2024 - Gambar ihsan MATRADE

Syarikat Malaysia rekod jualan RM1.49 bilion menerusi Gulfood 2024 di Dubai

KUALA LUMPUR: 80 syarikat Malaysia merekodkan jualan bernilai RM1.49 bilion menerusi pameran makanan terbesar dunia, Gulfood 2024, di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 19 hingga 23 Februari 2024, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata nilai jualan itu menandakan peningkatan ketara sebanyak 57.9 peratus berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan RM943.46 juta.

"Peningkatan itu disumbangkan oleh penambahan jumlah syarikat Malaysia yang menyertainya daripada 71 kepada 80 syarikat, serta pemanjangan tempoh pameran dari empat hari kepada lima hari oleh pihak penganjur.

"Daripada jumlah jualan RM1.49 bilion itu, sebanyak RM579.1 juta adalah hasil jualan sebenar, manakala RM916.75 juta adalah jualan berpotensi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan keupayaan syarikat Malaysia untuk mengembangkan eksport dan menembusi pasaran global melalui platform seperti Gulfood.

Reezal Merican turut berbangga kerana kebanyakan syarikat yang terbabit adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dan sebahagian besar merupakan syarikat Bumiputera.

Beliau berkata, MATRADE akan terus memantau perkembangan jualan itu setiap bulan untuk memastikan jualan berpotensi bernilai RM916.75 juta dapat direalisasikan.

Selain penyertaan syarikat swasta, terdapat lima agensi kerajaan yang turut terlibat iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), SME Bank dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Beliau berkata, prestasi mengikut kategori produk menunjukkan produk minyak sawit mencatatkan jualan tertinggi dengan nilai RM877.50 juta atau 58.8 peratus.

Senarai itu diikuti produk minuman (RM289.9 juta), susu sejat (RM106.15 juta), makanan sejuk beku (RM85.66 juta), produk pertanian (RM55.96 juta), snek (RM40.71 juta), produk sedia dimakan (RM20.62 juta), biskut (RM12.6 juta) dan rempah ratus (RM0.46 juta).

Sebanyak 10,622 sesi mesyuarat padanan perniagaan telah dijalankan oleh peserta pameran Malaysia dengan pengimport dan pengedar dari rantau Timur Tengah, Afrika Utara serta sekitarnya sepanjang acara berlangsung,

Gulfood 2024 dilihat sebagai platform efektif untuk syarikat Malaysia meneroka peluang eksport dan usaha sama di pasaran global di samping mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka.

Semasa lawatan rasmi di Dubai, Reezal Merican turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara syarikat Malaysia dengan firma antarabangsa di Astaka Malaysia sekali gus menunjukkan lagi potensi eksport dan usaha ke arah pasaran Asia Barat.

Reezal Merican berkata, satu daripada MoU itu membabitkan Agym Nutrition Sdn Bhd dan Eureka Drinks Sdn Bhd dengan syarikat antarabangsa, dengan usaha itu membuka peluang baharu bagi eksport produk kesihatan dan minuman tenaga Malaysia ke pasaran Asia Barat.

-BERNAMA

Berita Harian X