Khamis, 14 March 2024 | 3:47pm
Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 4.0 peratus pada Januari 2024 - NSTP/AIMAN FARHAN
Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 4.0 peratus pada Januari 2024 - NSTP/AIMAN FARHAN

Petunjuk awal gambarkan ekonomi Malaysia lebih kukuh 2024

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kadar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang kukuh pada Januari 2024 berdasarkan prestasi positif yang ditunjukkan dalam beberapa petunjuk ekonomi, demikian menurut penganalisis.

Januari 2024 memperlihatkan peningkatan semula dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang berkembang 4.3 peratus berbanding penurunan 0.03 peratus pada Disember 2023.

Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) juga meningkat pada Januari 2024 dengan sebanyak 1.6 peratus berbanding -4.2 peratus pada Disember 2023.

Manakala, Indeks Perdagangan Pengedaran (DTI) mencatatkan momentum pertumbuhan mampan sebanyak 3.5 peratus pada Januari 2024 berbanding 3.4 peratus pada Disember 2023.

Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank (Maybank IB), Suhaimi Ilias, berkata berdasarkan prestasi IPP, DTI dan MSM yang membentuk 52 peratus daripada KDNK, penjejak KDNK bulanan bank pelaburan itu menganggarkan ekonomi berkembang 4.0 peratus pada Januari 2024.

"Bersama-sama dengan penunjuk lain seperti kenaikan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan dan pemulihan eksport Januari 2024 selepas penurunan 10 bulan berturut-turut di tengah-tengah pemulihan kitaran teknologi global, peningkatan pertumbuhan ekonomi ini menyokong unjuran pertumbuhan KDNK kami bagi sebanyak 4.4 peratus berbanding pertumbuhan 3.7 peratus pada 2023," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Suhaimi berkata, IPP meningkat semula pada Januari 2024 berikutan pengembangan dalam semua sektor iaitu pembuatan meningkat 3.7 peratus, perlombongan meningkat lima peratus dan elektrik melonjak 8.3 peratus.

Beliau berkata, pemulihan pembuatan disokong pemulihan dalam industri berorientasikan eksport selepas tujuh bulan mencatatkan penurunan berikutan pengeluaran yang lebih tinggi bagi produk getah, produk plastik, bahan kimia dan produk kimia serta komputer, elektronik dan produk optik.

Katanya, ia juga disokong pertumbuhan mampan dalam industri berorientasikan domestik seperti kenderaan bermotor, treler dan semi treler, produk logam fabrikasi kecuali produk jentera dan peralatan dan produk pemprosesan makanan.

"Pertumbuhan output perlombongan bertambah kukuh mencerminkan aliran menaik dalam minyak mentah dan kondensat serta gas asli, sementara pertumbuhan pengeluaran MSM juga pulih daripada bulan sebelumnya.

"Momentum pertumbuhan DTI kekal berikutan pertumbuhan jumlah yang lebih pantas dalam perdagangan kenderaan bermotor dan perdagangan borong berbanding penyederhanaan dalam perdagangan runcit," katanya.

Namun, Suhaimi menjangkakan perdagangan runcit akan rancak pada Februari hingga Mac 2024 susulan musim cuti, kembali ke sekolah dan perbelanjaan perayaan (Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri), serta pengeluaran insentif khas sekali saja antara RM1,000 hingga RM2,000 kepada kakitangan kerajaan dan pesara,

Ia juga disokong peringkat pertama pemberian tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Berita Harian X