Ahad, 10 March 2024 | 2:19pm
Lebuhraya Pan Borneo membuka pelbagai peluang ekonomi di kawasan Bumiputera yang terpencil -NSTP/Mohd Adam Arinin
Lebuhraya Pan Borneo membuka pelbagai peluang ekonomi di kawasan Bumiputera yang terpencil -NSTP/Mohd Adam Arinin

Pembangunan infrastruktur pacu ekonomi usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Pembangunan infrastruktur penting untuk membuka peluang lebih luas kepada perniagaan dan usahawan Bumiputera, terutama dalam pelancongan, pertanian dan guna tenaga, di samping menekankan kepentingan kesan ke atas ekonomi negara dan mengutamakan potensinya untuk memajukan masyarakat Bumiputera.

Profesor Madya Dr Wan Mazlina Wan Mohamed dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkap Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MiTRANS) UiTM berkata, sektor pengangkutan dan logistik memberi pengaruh secara langsung dan tidak langsung terhadap ekonomi negara.

"Sebagai contoh, Lebuhraya Pan Borneo akan memudahkan kesalinghubungan yang lebih baik dengan kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak, seterusnya dengan Nusantara selaku ibu negara Indonesia pada masa akan datang.

"Lebuh raya ini bertujuan meningkatkan kesalinghubungan, terutama dengan kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak. Infrastruktur pengangkutan yang bertambah baik di wilayah ini boleh membuka pelbagai peluang ekonomi, termasuk akses yang lebih mudah kepada pasaran, peningkatan perdagangan dan pembangunan pelancongan," katanya kepada BERNAMA.

Selain itu, Wan Mazlina menekankan potensi Lebuhraya Pan Borneo untuk dihubungkan dengan Nusantara, yang boleh meningkatkan lagi hubungan ekonomi antara Malaysia dan Indonesia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang diadakan baru-baru ini, dengan menggariskan lebih 80 resolusi sebagai sebahagian daripada agenda pemerkasaan bumiputera dalam era digital.

Wan Mazlina berkata, pada masa yang sama, evolusi infrastruktur pengangkutan berperanan sebagai saluran untuk memperlihatkan warna-warni kekayaan budaya di kawasan Bumiputera yang terpencil, sekali gus merangsang pelancongan dan pertukaran budaya.

"Peningkatan infrastruktur, khususnya dalam sektor pelancongan, menjadi pemangkin kepada banyak peluang, daripada usaha niaga perhotelan sehinggalah kepada ketukangan tempatan, menghidupkan ekosistem aktiviti ekonomi yang rancak.

"Peningkatan kemudahan di lokasi strategik seperti lapangan terbang dan di sepanjang lebuh raya adalah bukti kepada transformasi ini, yang meningkatkan kemasukan pelancong dengan ketara.

"Projek ini bukan sahaja merangsang ekonomi tempatan, malah menyediakan platform kepada perniagaan dan artisan Bumiputera untuk mempamerkan warisan, kraf, dan naratif mereka di tahap nasional," katanya.

Menurut Wan Mazlina, kuasa transformatif pembangunan infrastruktur ternyata menjangkau sehingga sektor pertanian, mewujudkan manfaat meluas kepada petani Bumiputera yang tinggal di kawasan luar bandar.

"Kesalinghubungan yang dipertingkat bukan sahaja merapatkan jurang antara ladang di kawasan terpencil dan pasaran yang giat, malah turut mengurangkan cabaran akibat daripada hasil yang rosak, langkah penting ke arah memperkukuh rantaian nilai pertanian.

"Akses yang baharu ditemui ke pasaran lebih luas ini meningkatkan margin keuntungan, memperkasakan petani, terutama di wilayah Sabah dan Sarawak, dengan kawasan tanah yang luas menekankan kepentingan untuk menambah baik pengangkutan bagi menjangkau had tempatan dan berhubung dengan rantaian bekalan serantau dan global.

"Perkembangan sedemikian bukan sahaja menambahkan kecekapan sektor pertanian, malah meningkatkan taraf hidup masyarakat Bumiputera yang terlibat, memastikan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran mampan kepada mereka," katanya.

Wan Mazlina berkata, Lojing di Kelantan misalnya tertumpu terutama kepada kegiatan pertanian dan diiktiraf sebagai pengeluar sayur kedua terbesar di Malaysia selepas Cameron Highlands.

"Kesalinghubungan yang lebih baik melalui projek infrastruktur seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) baharu dijangka meningkatkan keselamatan makanan di wilayah Pantai Timur Malaysia," katanya.

Beliau berkata, pelaburan dalam pembinaan jalan baharu, lebuh raya, landasan kereta api serta sistem transit awam dan kereta api berkelajuan tinggi, selain menambah baik rangkaian tambak dan perkhidmatan feri serta membesarkan lapangan terbang, akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada Bumiputera.

"Peranan mereka meliputi tugas sebagai profesional dan usahawan dalam perundingan, pengauditan, kejuruteraan, perkhidmatan teknikal, firma teknologi baharu, perkhidmatan guaman, pembekalan jentera dan banyak lagi," katanya.

Bagaimanapun, katanya peralihan ke arah pengangkutan lestari, meliputi penggunaan kenderaan elektrik, autonomi dan berkuasakan hidrogen, memberi peluang kepada usahawan Bumiputera untuk terlibat sebagai perunding teknikal, ejen jualan dan penyedia latihan dalam bidang berkenaan.

"Peralihan ini juga memerlukan peningkatan kemahiran tenaga kerja, memberi peluang kepada bumiputera yang berpengalaman untuk menubuhkan institusi latihan dan memudahkan pemindahan teknologi," katanya.

Selain itu, beliau berkata pembangunan infrastruktur pengangkutan seperti jalan raya, lebuh raya, terminal dan stesen akan mendorong pertumbuhan perbandaran baharu dan kawasan perniagaan, menawarkan peluang kepada usahawan Bumiputera untuk mewujudkan pelbagai perkhidmatan dan pusat perniagaan.

"Sebagai contoh, menaik taraf lapangan terbang di kawasan terpencil Sabah dan Sarawak untuk memudahkan produk dan perkhidmatan penduduk asli diperlihatkan seperti buah-buahan eksotik, bunga, kraftangan, dan perkhidmatan pemandu pelancong, boleh meningkatkan ekonomi tempatan dan mempromosikan kepelbagaian budaya.

"Langkah ini akan mewujudkan peluang perniagaan kepada penduduk asli tempatan untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka, terutamanya kepada Bumiputera di Malaysia Timur," katanya.

Sementara itu, penganjuran KEB 2024 oleh Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) bertujuan menetapkan hala tuju, dasar dan pendekatan baharu demi menguatkan agenda pemerkasaan Bumiputera.

Pada tahun ini, KEB memberikan tumpuan kepada 10 kluster iaitu Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Institusi Pendidikan Teknikal, Pendidikan dan Latihan Vokasional (Pilihan Kerjaya Utama); Pemantapan Industri Halal; dan Pembangunan Luar Bandar dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli.

Kluster lain adalah Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah Persekutuan; Sosioekonomi Bumiputera Sabah dan Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

-BERNAMA

Berita Harian X