Ahad, 10 March 2024 | 1:20pm

Barang perhiasan emas wajar dikenakan kadar cukai terendah

KUALA LUMPUR: Persatuan Emas Malaysia (MGA) mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menetapkan harga ambang munasabah RM50,000 untuk barang perhiasan emas, dengan kadar cukai terendah lima peratus bagi meminumkan impak Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) terhadap industri emas.

Presiden MGA, Datuk Louis Ng, berkata cadangan itu dikemukakan memandangkan industri barang perhiasan emas adalah penting bagi pasaran Malaysia.

"Kita mempunyai ribuan kedai barang kemas dan kilang. Jika harga ambang tidak ditetapkan dengan betul, ia akan memberi kesan besar kepada industri, seperti kehilangan pekerjaan, malah berisiko kehilangan bakal pelabur asing seperti China.

"Pengguna di Malaysia terutamanya membeli barang perhiasan emas untuk tujuan memberi hadiah, koleksi peribadi dan/atau melindung nilai daripada inflasi.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran barang perhiasan Malaysia menyaksikan lonjakan permintaan bagi budaya dan tradisi, bukan sahaja dalam kalangan wanita pertengahan umur, tetapi juga generasi muda, yang mencerminkan kekayaan warisan negara dan kepelbagaian penduduk," katanya dalam satu kenyataan.

Permintaan emas di Malaysia sentiasa tinggi, namun tidak seperti Singapura, pasaran barang perhiasan emas Malaysia tidak pernah terkesan oleh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Rakyat Malaysia mendapat keistimewaan untuk dapat membeli barang perhiasan emas pada kadar bebas cukai.

Walau bagaimanapun, kemampanan industri emas dan barang perhiasan di negara ini masih tidak jelas dengan HVGT yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

MGA baru-baru ini menganjurkan bersama Forum Kerjasama Perdagangan Emas dan Barang Kemas China-ASEAN 2024 di Kuala Lumpur dengan Persatuan Emas China (CGA) dan United Overseas Bank (UOB) China, yang menjadi tuan rumah kepada lebih 50 perwakilan (terdiri daripada veteran emas, pelabur, jurubank, tukang emas) dari lapan negara ASEAN.

Forum itu bermatlamat untuk berkongsi pandangan mengenai trend pasaran emas serantau, permintaan tempatan dan perkara berkaitan perdagangan antarabangsa lain seperti peluang dan cabaran.

Ng berkata, forum itu ialah tempat pemain industri utama berkumpul dan berkongsi pandangan mengenai trend serta cabaran terkini pasaran.

"Ia juga merupakan sesi rangkaian yang hebat untuk peneraju emas industri meneroka peluang untuk

kerjasama masa depan di luar forum. Ini akan memberi manfaat besar kepada ekonomi global dalam jangka panjang jika semua orang kekal komited dan bersama-sama memberikan sumbangan," katanya.

Negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia, kebanyakannya adalah pasaran barang perhiasan emas selama beberapa dekad, dan negara ini juga menjadi pengeksport utama.

Sebelum pandemik COVID-19, pembuatan barang perhiasan emas di Malaysia berjumlah 44 hingga 52 tan, dengan 75 hingga 80 peratus daripadanya dibuat di Pulau Pinang.

Presiden Persatuan Peniaga Emas Malaysia (FGJAM), Datuk Chiah Hock Yew, berkata produk barang kemas yang paling biasa diperdagangkan secara meluas di Malaysia ialah barang perhiasan emas 22 karat yang membentuk hampir 90 peratus daripada pasaran barang perhiasan emas Malaysia diikuti oleh produk emas 18 karat dan 24 karat.

Berita Harian X