Jumaat, 8 March 2024 | 12:11pm
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh ketika temu bual pada sesi Ruang Bicara bertajuk "Memperkasa Rakyat Menerusi Revolusi Digital", yang dihoskan Sherkawi Jirim di Wisma Bernama, semalam. - BERNAMA
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh ketika temu bual pada sesi Ruang Bicara bertajuk "Memperkasa Rakyat Menerusi Revolusi Digital", yang dihoskan Sherkawi Jirim di Wisma Bernama, semalam. - BERNAMA

MDEC kenal pasti syarikat pemula dalam industri kreatif

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan mengumpul data bagi mengenal pasti syarikat pemula niaga tempatan yang berpotensi besar untuk berkembang dalam sektor industri kreatif.

"Kita perlu ada satu dashboard yang kita boleh nampak secara keseluruhan untuk kita track (jejak) dari segi keuntungan, jumlah pelaburan dan modal keluar. Kita perlukan maklumat itu bagi tujuan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan sebagainya.

"Ini adalah satu cara untuk kita kenal pasti syarikat mana berpotensi besar untuk berkembang, dan boleh dibimbing," kata Pengerusi MDEC Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kebanyakan syarikat pemula sebelum ini menggunakan insentif yang diberikan hanya sekadar ingin memulakan perniagaan namun tiada perkembangan.

Susulan itu, katanya, beliau optimis langkah itu juga akan dapat membantu MDEC untuk mengenal pasti tenaga kerja baharu di Malaysia khususnya dalam sektor industri kreatif.

Sementara itu, dalam program Ruang Bicara; Jelajah Saya Digital (JSD), terbitan Bernama TV pada Khamis, Syed Ibrahim berkata MDEC akan terus melaksanakan inisiatif transformasi digital dan pembangunan ekonomi digital ke seluruh negara untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Digital ASEAN.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran inisiatif itu kerajaan dan agensi seperti MDEC perlu bekerjasama dalam memastikan peluang yang ada dalam ekonomi digital dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Sementara itu Syed Ibrahim berkata MDEC memperkenalkan Kempen Saya Digital sejak 2021 dan telah menjelajah lebih 50 lokasi di seluruh negara menerusi siri JSD.

Beliau berkata kempen itu diperkenalkan bagi membantu rakyat meningkatkan kemahiran digital, menguasai digital dengan baik menerusi platform yang sedia agar mereka dapat mengadaptasi ekonomi digital.

"Jadi, harapan kami agar semua rakyat Malaysia dapat mengambil peluang ini untuk meningkatkan kemahiran digital Rakyat menerusi JSD ini," katanya.

Menerusi kempen tahun ini, katanya, MDEC akan meneruskan beberapa program yang telah berjaya dengan memberi tumpuan kepada empat fokus utama iaitu "Saya Digital Literasi", "Saya Digital Bisnes", "Saya Digital Freelance" dan "Saya Digital Kerjaya."

Bagi mencapai matlamat memperkasakan digital dalam kalangan rakyat, MDEC juga menyediakan pelbagai program termasuklah program eUsahawan, eRezeki, Global Online Workforce (GLOW) dan 100 Go Digital.

"JSD seterusnya yang akan dianjurkan di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang pada 9 dan 10 Mac ini memberi peluang kepada individu, peniaga atau usahawan kecil untuk mempromosikan produk-produk mereka di laman-laman sosial yang disediakan di JSD berkenaan," katanya. – Bernama

Berita Harian X