Ahad, 3 March 2024 | 2:30pm

Perbezaan dividen Konvensional, Shariah KWSP mengecil

SHAH ALAM: Jurang perbezaan peratusan dividen antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat mengecil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dengan Simpanan Konvensional sebanyak 5.50 peratus dan Simpanan Shariah sebanyak 5.40 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata perbezaan yang mengecil dividen itu didorong prestasi saham berkaitan teknologi terutama di Amerika Syarikat (AS) berprestasi lebih baik pada 2023.

Beliau berkata, sebahagian besar syarikat teknologi adalah berkaitan syariah, justeru prestasi yang cemerlang akan menyokong pulangan yang baik bagi Simpanan Syariah.

"Prestasi pasaran ekuiti terutama di AS dipacu tujuh syarikat teknologi. Sebahagian syarikat teknologi adalah syarikat syariah, justeru pulangan dalam syariah meningkat," katanya pada sidang media sempena taklimat prestasi kewangan KWSP 2023 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas jurang perbezaan peratusan dividen antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah dilihat mengecil pada 2023.

Mengulas lanjut, Ahmad Zulqarnain tidak menjangkakan jurang yang mengecil itu menandakan ia adalah secara penuh dan ia akan sama memandangkan pulangan adalah bergantung kepada prestasi pelaburan.

Namun, beliau memberi jaminan, KWSP akan memastikan pulangan bagi simpanan persaraan akan lebih tinggi dua peratus daripada kadar inflasi.

Katanya, bermula Januari 2024, KWSP telah mengasingkan portfolio Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah berhubung dengan pelaburan patuh Syariah KWSP, bagi membolehkan pulangan setiap portfolio dioptimumkan dalam jangka masa panjang dengan setiap portfolio mempunyai Alokasi Aset Strategik masing-masing.

Jelasnya, langkah itu juga bagi memastikan aset di bawah Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional dapat dipelbagaikan dengan lebih baik merentasi kelas aset, pasaran, negara dan mata wang untuk memastikan pulangan yang mampan.

Berita Harian X