Khamis, 29 Februari 2024 | 11:31am
Polisi bebas visa baharu adalah pemacu penting untuk perjalanan rentas sempadan -NSTP/Aiman Danial
Polisi bebas visa baharu adalah pemacu penting untuk perjalanan rentas sempadan -NSTP/Aiman Danial

Malaysia destinasi popular pelancong China pada Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah destinasi global kelima paling popular dalam kalangan pelancong China semasa perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, demikian menurut data daripada Alipay+.

Pengurus Besar Alipay+ Perkhidmatan Peniaga Luar Talian Ant International, Dr Cherry Huang, berkata dalam tujuh hari pertama Tahun Baharu Cina 2024, perbelanjaan pelancong China di Malaysia adalah dua kali ganda berbanding Tahun Baharu Cina 2019, dan lebih 10 kali ganda berbanding Tahun Baharu Cina 2023.

"Pembayaran mudah alih menjadi pemacu yang semakin penting untuk perdagangan tempatan dan rentas sempadan di dalam atau luar Asia, susulan penggunaan yang tersebar merentasi pelbagai peringkat usia dan kumpulan pendapatan.

"Menerusi kerjasama dengan PayNet, kami menyaksikan lonjakan dalam transaksi Alipay+ pada rangkaian DuitNow QR. Ini menunjukkan ia bukan hanya memberi lebih kemudahan kepada pelancong, tetapi juga membawa lebih peluang kepada perniagaan tempatan, baik besar mahupun kecil.

"Kami berharap untuk mengukuhkan kerjasama dengan rakan-rakan kongsi tempatan bagi menyumbang kepada sektor pelancongan yang rancak di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Pengembangan rangkaian e-dompet menjelang musim kemuncak perjalanan telah memberi kemudahan tambahan kepada pelancong, serta meningkatkan peluang pertumbuhan untuk peniaga tempatan.

Selain pelancong China, Malaysia menjadi destinasi keenam paling popular dalam kalangan pelancong Asia yang lain.

Berdasarkan transaksi daripada pelbagai aplikasi rakan kongsi pembayaran Alipay+, perbelanjaan pelancong dari Hong Kong, Filipina dan Thailand adalah yang tertinggi di Malaysia, selain pelancong dari China.

Pada November 2023, menerusi lapan e-dompet yang disokong Alipay+, Alipay+ dan PayNet membolehkan pelancong membuat pembayaran QR di rangkaian rakan niaga DuitNow QR di seluruh Malaysia.

Dalam empat bulan awal pelancarannya, Alipay+ telah menyumbang secara ketara kepada transaksi QR rentas sempadan (perjalanan masuk) di DuitNow QR

Berbanding Disember 2023, pada Februari 2024, purata transaksi harian melalui Alipay+ pada DuitNow QR meningkat 2.5 kali ganda, manakala perbelanjaan melalui pengguna rakan kongsi Alipay+ di rakan niaga DuitNow QR turut meningkat 2.5 kali ganda.

Ketua Pegawai Komersial PayNet, Gary Yeoh, menzahirkan rasa bangga terhadap kerjasama itu.

"Sebagai rangkaian pembayaran nasional dan infrastruktur penting untuk Malaysia, kami amat berbangga untuk melibatkan diri dalam perjalanan transformasi ini bersama Alipay+.

"Kerjasama ini, yang menunjukkan bagaimana usaha sama strategik dapat memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan pengalaman pelancongan, telah mempermudah urusan pembayaran bagi pelancong antarabangsa dan membuka peluang yang luas bagi peniaga tempatan," katanya.

Hong Kong, Jepun, Macao, Thailand, Malaysia, Singapura, Korea Selatan, Perancis, Australia dan Kanada adalah destinasi utama dalam kalangan pelancong China.

Malah, perbelanjaan mereka melalui Alipay juga adalah yang tertinggi di negara terbabit.

Secara terkumpul, Thailand, Malaysia dan Singapura menyaksikan peningkatan 7.5 peratus berbanding 2019 dan 580 peratus berbanding 2023 dalam penggunaan e-dompet negara asal, dengan Thailand mendahului jumlah transaksi, manakala Malaysia menunjukkan pertumbuhan paling ketara untuk perkara yang sama.

Dalam pada itu, polisi bebas visa baharu dari destinasi-destinasi utama di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, adalah pemacu penting untuk perjalanan rentas sempadan.

Berita Harian X