Rabu, 28 Februari 2024 | 4:32pm
Bursa Malaysia Derivatives Bhd.
Bursa Malaysia Derivatives Bhd.

Bursa Malaysia Derivatives anjur persidangan minyak sawit, laurik

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Derivatives Bhd akan menganjurkan edisi ke-35 Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik (POC2024) bermula 4 hingga 6 Mac yang akan berlangsung di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur.

POC2024 itu dijangka menarik penyertaan lebih 2,000 delegasi dari lebih 50 negara dan akan dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

"Persidangan minyak sawit utama kami masih memainkan peranan penting dalam membantu membentuk kesiapsiagaan industri pada masa depan.

"Selama bertahun-tahun, persidangan itu telah menyediakan maklumat dan pandangan yang amat berharga yang menyokong usaha membuat keputusan peserta pasaran dan industri agar mereka dapat mengemudi landskap operasi yang sentiasa mencabar dengan lebih berkesan lagi," kata Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift.

Persidangan tiga hari itu terus berfungsi sebagai perhimpunan utama ketua-ketua industri, pakar bidang berkaitan dan pembuat keputusan di seluruh dunia untuk membincangkan mengenai cabaran semasa dan peluang yang muncul yang akan mempengaruhi landskap minyak makan global.

POC2024 akan menampilkan pemimpin berpengaruh dalam industri, antaranya termasuklah pengerusi Dalian Commodity Exchange Ran Hua; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Protein AG Emily French; Pengarah Godrej International Limited Dorab Mistry; Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation Bhd, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha; dan Ketua Perladangan dan Ketua Pegawai Kelestarian Wilmar International Ltd, Jeremy Goon.

-BERNAMA

Berita Harian X