Isnin, 26 Februari 2024 | 3:52pm
Gambar fail. Penghantar makanan berlegar di hadapan sebuah pusat membeli belah selepas mengambil pesanan makanan untuk dihantar kepada pelanggan ketika tinjauan di sekitar ibu kota. - BERNAMA
Gambar fail. Penghantar makanan berlegar di hadapan sebuah pusat membeli belah selepas mengambil pesanan makanan untuk dihantar kepada pelanggan ketika tinjauan di sekitar ibu kota. - BERNAMA

Pekerja tidak formal terus berdepan isu persaraan, perlindungan insuran

KUALA LUMPUR: Pekerja tidak formal di Malaysia masih berdepan dengan isu tabungan dan perlindungan persaraan serta risiko kesihatan dan kecederaan, menurut Laporan Pekerjaan Tidak Formal di Malaysia: Trend, Cabaran dan Peluang untuk Pembaharuan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Zunika Mohamed berkata, ketidakupayaan atau keengganan pekerja untuk mengambil inisiatif membuat caruman dan mengambil skim insurans sosial, melebarkan lagi perbezaan dalam perlindungan sosial untuk pekerja tidak formal dengan formal.

Pandemik COVID-19 yang melanda negara katanya telah mengubah landskap pekerjaan di Malaysia dengan peningkatan pekerjaan di bawah ekonomi gig seiring dengan lonjakan pantas pendigitalan dan secara langsung ia memberikan satu cabaran baru kepada sektor pekerjaan dan juga pendapatan pekerja.

"Melalui kajian yang dijalankan secara bersama Kementerian Ekonomi dan Bank Dunia mendapati peratusan pekerjaan tidak formal secara keseluruhannya telah menurun daripada 38.2 peratus pada 2009 kepada 26.8 peratus pada 2022 namun disebabkan peningkatan aktiviti pendigitalan, jumlah pekerja gig semakin meningkat kini," katanya selepas melancarkan Laporan Pekerjaan Tidak Formal di Malaysia: Trend, Cabaran dan Peluang untuk Pembaharuan di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Serantau untuk Modal Insan bagi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Dr Alberto Rodriguez dan Pengurus Negara Bank Dunia, Dr Yasuhiko Matsuda.

Zunika berkata, meningkatkan kebajikan pekerja tidak formal akan terus menjadi salah satu keutamaan kerajaan seperti yang diketengahkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata, dalam penggubalan dasar pula, laporan bersama Kementerian Ekonomi dan Bank Dunia ini berfungsi sebagai maklumat berasaskan bukti penting ke dalam skala, trend dan ciri pekerjaan tidak formal di Malaysia.

Bank Dunia dalam laporan itu katanya turut mencadangkan beberapa langkah untuk menangani kelemahan mendesak yang berkaitan dengan pekerjaan tidak formal.

"Antara yang boleh diketengahkan ialah menubuhkan satu badan untuk mengumpulkan pihak berkepentingan utama dalam pekerjaan tidak formal selain menambah baik latihan kemahiran.

"Penyedia platform digital juga diwajibkan untuk menyediakan insurans kecederaan untuk pekerjaan berisiko tinggi dan mewajibkan caruman automatik untuk simpanan persaraan untuk pendapatan yang diperoleh melalui platform digital," katanya.

Zunika berkata, melangkah ke hadapan kerajaan juga sudah melaksanakan beberapa agenda utama seperti perlindungan sosial untuk pekerja tidak formal.

Beliau berkata, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2024, kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta sebagai sumbangan geran sepadan untuk Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Selain itu katanya, program i-Saraan sukarela di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dirangsang lagi dengan meningkatkan caruman padanan nilai maksimum RM500 setahun bagi setiap individu.

Sementara itu katanya, untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan pekerja tidak formal, kerajaan bersedia untuk mengembangkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.

Skim kredit mikro juga katanya disediakan untuk menambah baik akses perkhidmatan kewangan untuk pekerja tidak formal.

"Laporan ini menandakan satu lagi usaha kerjasama dalam menyelidiki analisis skala dan arah aliran pekerjaan tidak formal dan mendalami peraturan, dasardan program yang mengawal pekerjaan tidak formal.

"Ia juga mengkaji kelemahan yang dikaitkan dengan pekerjaan tidak formal, merangkumi risiko berada dalam pekerjaan berisiko tinggi, kerentanan dalam pendapatan, akses kepada perkhidmatan kewangan dan cabaran dalam pembangunan kerjaya.

"Cabaran sedemikian menekankan keperluan strategi yang komprehensif untuk menangani isu yang berkaitan dengan pekerjaan tidak formal," katanya.

Berita Harian X