Isnin, 26 Februari 2024 | 12:47pm
Gambar fail. Tinjauan harga barang sayuran, bawang, kentang di pasar raya sekitar Kuala Lumpur. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Gambar fail. Tinjauan harga barang sayuran, bawang, kentang di pasar raya sekitar Kuala Lumpur. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Kadar inflasi dijangka kekal stabil - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia dijangka kekal stabil, disokong kestabilan harga makanan global dan harga komoditi.

Penganalisis Affin Hwang Investment Bank Bhd, Patrick Chong Yeong Yee, berkata namun begitu imbangan risiko terhadap tinjauan inflasi kekal condong ke arah kenaikan, berikutan ketegangan geopolitik yang berpanjangan di Timur Tengah, gangguan laluan perkapalan di Laut Merah, serta potensi perubahan dasar domestik mengenai subsidi petrol.

"Dengan mengambil perkara ini, kami mengekalkan unjuran bahawa inflasi Malaysia mungkin meningkat, dengan purata antara 3.0 hingga 3.5 peratus tahun ini," katanya dalam nota penyelidikan.

Inflasi di negara ini kekal rendah pada Januari 2024 sebanyak 1.5 peratus, kadar yang sama sejak November 2023 dengan mata indeks mencatatkan 131.4 berbanding 129.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia berikutan peningkatan perlahan restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus); kesihatan (2.4 peratus); makanan dan minuman (2.0 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.0 peratus).

Sementara, kumpulan pengangkutan merekodkan peningkatan inflasi rendah (0.7 peratus) berbanding Disember 2023 (0.3 peratus).

Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) masih mencatatkan peningkatan lebih rendah iaitu 2.0 peratus pada Januari 2024 (Disember 2023: 2.3 peratus).

Sementara itu, Maybank Invesment Bank Bhd dalam nota penyelidikan berkata, bank pelaburan itu juga mengekalkan unjuran inflasi tahun ini kepada 3.0 peratus.

Katanya, jangkaan inflasi pada 2024, berdasarkan maklumat lanjut dan butiran mengenai Belanjawan 2024 terutamanya membabitkan rasionalisasi kawalan harga dan subsidi di mana kuantum dan masa yang akan diumumkan kemudian untuk barangan seperti telur dan bahan api (diesel & RON95).

"Kami juga akan melihat langkah lain termasuk kenaikan cukai perkhidmatan daripada 6.0 kepada 8.0 peratus mulai 1 Mac 2024 (kecuali perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi) serta peluasan asas cukai perkhidmatan (termasuk logistik, pembrokeran & taja jamin bukan kewangan, dan karaoke)," katanya.

Sebagai permulaan, antara lain, subsidi ayam telah pun dihentikan mulai 1 November tahun lalu, dan mulai 1 Januari 2024, kenaikan duti eksais untuk minuman manis bergula daripada 40 sen seliter kepada 50 sen dan duti eksais ke atas tembakau kunyah produk pada 5.0 peratus, serta pengurangan duti hiburan.

Selain itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini mengumumkan kenaikan kadar tarif air sebanyak 22 sen untuk setiap meter padu mulai 1 Februari 2024 untuk pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelarasan itu dijangka menjejaskan 6.9 juta pengguna dalam kategori domestik, mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

"Peningkatan itu membabitkan jumlah purata kenaikan bagi setiap 1,000 liter air yang digunakan. Kami menjangkakan kenaikan tarif air mempunyai kesan minimum terhadap inflasi kerana bekalan air mewakili 0.9 peratus dalam bakul IHP," tambah Maybank Investment Bank.

Berita Harian X