Selasa, 20 Februari 2024 | 2:30pm
Peter Chuah Hock Heng didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur - Gambar hiasan
Peter Chuah Hock Heng didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur - Gambar hiasan

SC kenakan pertuduhan ke atas bekas remisier

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendakwa pertuduhan terhadap bekas remisier, Peter Chuah Hock Heng atas tuduhan menipu pelabur dan terbabit dalam aktiviti pasaran modal tidak berlesen.

SC dalam satu kenyataan berkata, Hock Heng, 44, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di atas satu kesalahan di bawah Seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menipu pelabur.

"Bagi dakwaan itu, dia didakwa membuat representasi palsu mengenai skim pelaburan yang dikatakan melibatkan pembelian sekuriti di mana kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara Februari dan April 2014 di Petaling Jaya, Selangor.

"Jika sabit kesalahan, Hock Heng akan berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta," katanya dalam satu kenyataan.

SC berkata, bagi pertuduhan mengikut seksyen 179(b) CMSA, hakim Mahkamah Sesyen Datin Sabariah Othman membenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Katanya, Hock Heng juga menghadapi dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 58(1) CMSA kerana menyatakan dirinya menjalankan perniagaan dalam urusan sekuriti tanpa lesen.

Urus niaga dalam sekuriti merupakan aktiviti terkawal seperti yang dinyatakan dalam Jadual 2 CMSA dan mana-mana orang yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan oleh SC.

"Kesalahan ini membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Bagi pertuduhan di bawah seksyen 58(1) CMSA, Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus membenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin di mana mahkamah mengenakan syarat jaminan tambahan yang sama seperti mahkamah sebelumnya," katanya.

Bagaimanapun, Hock Heng menuntut dibicarakan bagi ketiga-tiga pertuduhan di dua mahkamah berasingan dan tertuduh juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan.

"SC mengingatkan pelabur supaya berhati-hati sebelum melabur dan ketika mempertimbangkan peluang pelaburan.

"Senarai Peringatan Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membantu orang ramai mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan atau tidak berlesen," katanya.

Berita Harian X