Khamis, 15 Februari 2024 | 8:34pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menggaul yee sang sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 anjuran ACCCIM hari ini - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menggaul yee sang sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 anjuran ACCCIM hari ini - Foto BERNAMA

Dewan perniagaan, perindustrian Cina jangka ekonomi lebih baik

KUALA LUMPUR: Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menjangkakan prospek ekonomi yang lebih baik tahun ini, kata Presidennya, Senator Tan Sri Low Kian Chuan.

Persatuan itu berharap kerajaan akan terus mengukuhkan ekonomi, fiskal serta asas kewangan, merangsang iklim pelaburan yang lebih menggalakkan, menyemai keyakinan pelabur domestik dan asing, selain membantu menyokong nilai ringgit.

"Kajian terkini dalam perniagaan serta ekonomi dewan itu menunjukkan bahawa lebih satu pertiga daripada responden menjangkakan prospek ekonomi yang lebih baik pada 2024, dengan hampir 40 peratus optimistik mengenai unjuran perniagaan menjelang separuh tahun kedua," katanya pada sambutan Tahun Baharu Cina ACCCIM di Hotel Shangri-La hari ini.

Kian Chuan berkata, tiga kebimbangan utama perniagaan yang mendesak ialah pengurangan kuasa beli pengguna, tekanan kos yang berterusan dan ringgit yang semakin lemah.

"Pelarasan teratur dalam ringgit dan kestabilannya adalah penting untuk perancangan serta keputusan perniagaan yang lebih baik. Responden telah meminta kerajaan menstabilkan ringgit, kerana ringgit yang turun naik akan mengganggu proses membuat keputusan mereka," katanya lagi.

Kian Chuan seterusnya berkata, ACCCIM menyokong saranan pengurangan dolar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meminimunkan pergantungan kepada dolar AS pada masa akan datang dengan menggunakan ringgit dalam penyelesaian perdagangan dengan rakan dagang utama.

"Pada masa ini, kira-kira 25 peratus daripada perdagangan dua hala Malaysia dengan China diselesaikan dalam ringgit dan renminbi," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X