Rabu, 14 Februari 2024 | 10:45pm
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz -NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz -NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Ekonomi digital kuasai pelaburan RM225 bilion diluluskan Malaysia

KUALA LUMPUR: Hampir 70 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan RM225 bilion Malaysia adalah dalam ekonomi digital, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam wawancara oleh rangkaian berita yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), CNN, baru-baru ini, beliau menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai faktor untuk berjaya memperkasakan kecerdasan buatan (AI) dan membawa keseluruhan ekosistem ke dalam negara.

"Kami mempunyai kilang AI, itulah yang kami gelar pada masa ini bukannya pusat data, malah kami juga menerima lawatan daripada Nvidia Corporation, syarikat teknologi multinasional berpangkalan di AS, yang mengumumkan minat untuk meneroka Malaysia dengan syarikat lain untuk menyokong kemajuan AI.

"Ini kerana AI akan membawa peningkatan produktiviti," katanya.

Tengku Zafrul berkata, terdapat kebimbangan secara umum mengenai kesan AI terhadap masyarakat, namun, tidak dapat dinafikan bahawa AI akan membawa kualiti hidup lebih baik dengan membolehkan semua jenis profesion melakukan kerja mereka dengan lebih cekap.

"Pekerjaan masa hadapan mungkin sangat berbeza memandangkan wujudnya kemajuan dalam teknologi, terutama AI generatif.

"Berasaskan AI, banyak fungsi kerja lain yang akan terlibat. Jadi, kita perlu memberi kemahiran baharu dan kemahiran tambahan (kepada pekerja) supaya bersedia untuk pekerjaan baharu pada masa hadapan," katanya.

Disember lalu, Nvidia menyatakan kesediaan menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi antara 20 negara teratas dalam teknologi AI dan bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI negara dari segi membina pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, termasuk membina sistem pengkomputeran awan AI Malaysia sendiri.

Mengenai cadangan beberapa bentuk kenaikan gaji minimum menyeluruh di semua negara ASEAN, Tengku Zafrul menekankan pentingnya untuk memastikan gaji meningkat.

"Jika anda melihat asas ekonomi Malaysia, inflasi kami berada pada tahap boleh urus. Kadar inflasi pada 2023 adalah kira-kira 2.5 peratus dan pengangguran terus rendah pada kira-kira 3.3 peratus.

"Berdasarkan asas-asas ini, kita mesti memastikan apa-apa kenaikan gaji adalah berkait dengan peningkatan produktiviti dan sebab itulah saya menekankan pelaburan dalam ekonomi hijau dan ekonomi digital kerana ia meningkatkan kekompleksan ekonomi sesebuah negara dan industrinya," katanya.

Tengku Zafrul berkata, dua tahun lalu, Malaysia menaikkan gaji minimum dan pada masa kini sedang membincangkan konsep gaji progresif.

"Ini hanya boleh dicapai jika kita meningkatkan produktiviti. Jadi, gaji perlu dikaitkan dengan produktiviti jika tidak, syarikat akan mendapati sukar untuk melaksanakan kenaikan gaji," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X