Rabu, 14 Februari 2024 | 3:01pm
Johari melawat kemudahan R&D MPOB di Bangi hari ini - Gambar ihsan MPOB
Johari melawat kemudahan R&D MPOB di Bangi hari ini - Gambar ihsan MPOB

MPOB hasilkan keju mozzarella berasaskan sawit tanpa kolesterol

BANGI: Teknologi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi formulasi makanan berjaya menghasilkan analog keju mozzarella berasaskan sawit sekali gus produk baik yang boleh digunakan dalam pembuatan piza di Malaysia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata analog keju mozzarella itu dirumus menggunakan minyak sawit sebagai pengganti lemak susu dan tidak mengandungi kolesterol dan asid lemak trans.

"Analog ini mempunyai kualiti dan fungsi yang sama seperti keju mozzarella berasaskan susu komersial dan sesuai untuk membuat piza," katanya menerusi kenyataan sempena lawatan beliau ke kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB di sini, hari ini.

Lawatan itu termasuk Loji Rintis Marjerin, Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) dan Galeri Sawit MPOB.

Turut serta, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin dan Pengerusi MPOB Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.

MPOB berjaya membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

Daripada angka itu, sejumlah 233 teknologi atau 32.7 peratus telah dikomersialkan dan diterima pakai oleh industri dan usahawan tempatan.

Johari berkata, pihak swasta harus terbabit dalam pengkomersialan teknologi terbabit seperti memperhalusinya agar ia dapat digunakan oleh industri.

"Kita boleh meminta pihak swasta seperti FGV (FGV Holdings Bhd) dan Sime Darby (Sime Darby Plantation Bhd) untuk bekerjasama dengan MPOB untuk melaksanakan percubaan," katanya.

Johari juga berharap kejayaan MPOB dalam menghasilkan formulasi pelet makanan untuk lembu pedaging akan dapat mengurangkan import makanan haiwan Malaysia sekurang-kurangnya 10 peratus dan membolehkan negara mengeksport produk itu.

Menurut MPOB, teknologi yang menggunakan produk sawit itu menawarkan alternatif kepada bahan mentah yang mampu mengurangkan kos pengeluaran makanan haiwan yang tinggi.

Percubaan komersial produk berkenaan mendapati ia tidak menjejaskan nilai pemakanan produk berkaitan.

Formulasi pelet makanan yang mengandungi lebih 80 peratus bahan berasaskan sawit, termasuk dedak isirung sawit, tandan buah kosong dan minyak sawit mentah adalah komponen nutrisi lengkap untuk pertumbuhan lembu pedaging mengikut spesifikasi nutrien.

MPOB, menerusi ABBC, pusat koleksi germplasma sawit terbesar di dunia bagi pemuliharaan dan penyelidikan berasaskan biakbaka dan bioteknologi sawit menjadi sumber untuk pengeluaran bahan klon sawit.

Bank gen asid deoksiribonukleik (DNA) ABBC mempunyai koleksi germplasma yang membolehkan penambahbaikan tanaman dengan penemuan gen yang mengawal sifat agronomi penting sawit, yang membawa kepada kejayaan besar dalam hasil penyelidikan dan peningkatan nilai komersial.

Koleksi germplasma sawit telah menjadi sumber utama dalam penyelidikan MPOB untuk menghasilkan bahan tanaman elit sama ada melalui biakbaka atau kultur tisu.

Sementara itu, loji rintis dan fasiliti makmal marjerin MPOB menawarkan kepakaran penyelidikan dan pembangunan dalam mengeluarkan produk makanan berasaskan lemak bagi industri minyak dan lemak.

Berita Harian X