Ahad, 11 Februari 2024 | 11:30am
Gambar fail. - NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Gambar fail. - NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Waspada penipuan pancingan data, perisian hasad - Bank Islam

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) mengingatkan orang ramai untuk sentiasa melindungi butiran peribadi dan akaun mereka daripada kaedah penipuan (scam) yang membabitkan pancingan data (phishing) dan perisian hasad (malware).

Menurut bank itu dalam kenyataan semalam, pancingan data adalah amalan menghantar e-mel atau mesej secara dalam talian daripada pihak yang menyamar sebagai syarikat yang sah supaya pengguna mendedahkan maklumat peribadi seperti kata laluan, nombor akaun, kad kredit dan debit serta pelbagai butiran penting lain.

Sementara perisian hasad katanya, direka khas untuk mendapatkan maklumat, merisik, mengawal dan menyerang peranti peribadi pengguna seperti telefon dan jam pintar, tablet serta komputer.

"Penjenayah akan memasukkan perisian hasad ke dalam peranti menggunakan aplikasi yang mereka bangunkan. Kebiasaannya ia kelihatan seumpama aplikasi yang sebenar bagi mengaburi pertimbangan pelanggan.

"Pihak tidak bertanggungjawab akan menggunakan maklumat sulit yang telah dicuri untuk mengubah tetapan peranti serta mendapat akses aplikasi pengguna termasuk terhadap platform penting pengguna termasuk perbankan dan e-mel mereka.

"Bank Islam menegaskan bahawa tiada pihak ketiga dilantik untuk mendapatkan maklumat dan butiran akaun pelanggan. Sebarang perubahan pada butiran dan akaun perbankan pelanggan hanya boleh dilakukan menerusi platform rasmi Bank Islam termasuk Perbankan Internet Bank Islam (www.bankislam.biz), aplikasi mudah alih GO by Bank Islam atau GO Biz by Bank Islam serta Be U by Bank Islam," katanya.

Bank Islam berkata, sebarang muat turun perlu dilakukan daripada gedung aplikasi rasmi seperti Google Play Store dan Apple App Store.

"Pelanggan diseru supaya tidak menyimpan maklumat nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam pelayar (browser) laman sesawang mereka.

"Bank Islam mengambil langkah proaktif dalam memastikan keselamatan akaun deposit dan transaksi pelanggan yang selamat, di samping melaksanakan pengawasan keselamatan dan pengawalseliaan yang mematuhi standard industri.

"Bank Islam memahami akan kepentingan kepercayaan dan amanah dalam aspek hubungan perbankan dan sentiasa bersedia untuk memberi khidmat yang profesional dan prihatin.

"Hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03-2690 0900 atau e-mel ke [email protected]. Sebagai alternatif, pelanggan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997 sekiranya akaun mereka disyaki telah dicerobohi," katanya.

Berita Harian X