Khamis, 8 Februari 2024 | 9:44pm
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Pengerusi LTAT bersara seminggu selepas CEO letak jawatan

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan persaraan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor daripada jawatan Pengerusi, berkuat kuasa hari ini.

LTAT dalam satu kenyataan berkata, tempoh perkhidmatan Raja Mohamed Affandi, yang bermula pada 2021, ditandai oleh komitmen tidak berbelah bahagi dalam mengukuhkan tadbir urus korporat dana persaraan angkatan tentera itu.

Ia berkata, kepimpinan beliau adalah penting dalam melakar pencapaian bermakna, terutama mendapatkan kelulusan bagi pindaan kepada Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101), yang disasarkan untuk memperkasakan rangka kerja tadbir urus korporat LTAT.

Katanya, di bawah kepimpinan Raja Mohamed Affandi, LTAT memulakan Garis Panduan & Dasar Risiko Pelaburan, kayu ukur penting yang menjamin perlindungan pelaburan LTAT sambil mengoptimumkan profil pulangan-risiko.

"Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan LTAT menzahirkan penghargaan paling mendalam kepada Jeneral Tan Sri Raja Affandi di atas kepimpinan dan sumbangannya yang tidak ternilai sepanjang tempoh perkhidmatan, selain mengucapkan selamat maju jaya," katanya.

Pengumuman itu dibuat hanya kira-kira seminggu selepas Lembaga Pengarah LTAT mengumumkan pengunduran Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berkuat kuasa 31 Mac lalu.

LTAT baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang menegaskan ia kekal komited dalam memastikan kemampanan dana jangka panjang selain terus meneroka semua pilihan pelaburan bersama pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk badan kawal selia dan Kementerian Pertahanan, seperti yang diamanatkan oleh Akta 101.

Penjelasan itu adalah selepas laporan sebuah portal berita yang mengaitkan pengunduran Ahmad Nazim sebagai tindak balas kepada penangguhan penstrukturan semula badan itu.

Berita Harian X