Khamis, 8 Februari 2024 | 12:37pm
Indeks volum subsektor perdagangan runcit merekodkan pertumbuhan positif 2.9 peratus -NSTP/Nur Raihana Alia
Indeks volum subsektor perdagangan runcit merekodkan pertumbuhan positif 2.9 peratus -NSTP/Nur Raihana Alia

Jualan borong, runcit melonjak pada suku keempat 2023

PUTRAJAYA: Indeks Perdagangan Borong & Runcit Malaysia merekodkan pertumbuhan 4.2 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2023 untuk mencapai 153.1 mata, menjadikan prestasi keseluruhan tahun 2023 kepada 5.6 peratus berbanding 2022, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan 4.2 peratus tahun ke tahun disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang melonjak 9.8 peratus, diikuti oleh perdagangan borong dan perdagangan runcit yang masing-masing meningkat 4.6 peratus dan 2.9 peratus.

"Bagi perbandingan suku ke suku tahun, indeks volum naik 0.8 peratus, disokong oleh kenderaan bermotor yang bertumbuh 3.7 peratus," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir memaklumkan bahawa pertumbuhan positif 9.8 peratus bagi indeks volum subsektor kenderaan bermotor disokong oleh jualan kenderaan bermotor dengan

13.1 peratus, diikuti oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor masing-masing dengan 12.1 peratus dan 10.3 peratus.

"Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum kenderaan bermotor meningkat 3.7 peratus," katanya.

Mengulas lanjut prestasi indeks volum perdagangan borong, beliau seterusnya memaklumkan peningkatan sebanyak 4.6 peratus bagi subsektor ini disumbangkan oleh jualan borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup dengan 8.4 peratus.

Katanya, ini diikuti lain-lain pengkhususan jualan borong (7.7 peratus), jualan borong barangan isi rumah (3.3 peratus), perdagangan borong tanpa pengkhususan (2.7 peratus), jualan borong jentera, peralatan & bekalan (2.4 peratus), jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (2.2 peratus) dan jualan borong makanan, minuman & tembakau (1.5 peratus).

"Sebaliknya, bagi perbandingan suku tahunan, indeks volum perdagangan borong jatuh 0.8 peratus," katanya.

Mohd Uzir menambah, indeks volum subsektor perdagangan runcit merekodkan pertumbuhan positif 2.9 peratus disumbangkan oleh jualan runcit makanan, minuman & tembakau dengan 8.4 peratus.

Katanya, ini diikuti oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (5.0 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (4.4 peratus), jualan runcit di gerai & pasar (4.2 peratus) dan jualan runcit peralatan isi rumah (3.6 peratus).

"Bagi perbandingan suku tahun, indeks volum perdagangan runcit naik 1.5 peratus berbanding suku tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata, bagi indeks volum pelarasan musim, perdagangan borong & runcit merosot 2.6 peratus berbanding suku tahun ketiga 2023, dipengaruhi oleh pertumbuhan negatif bagi semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (-8.2 peratus), perdagangan borong (-3.6 peratus) dan perdagangan runcit (-1.4 peratus).

Berita Harian X