Isnin, 5 Februari 2024 | 4:54pm
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin -NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin -NSTP/Hairul Anuar Rahim

SC perluas kategori pelabur sofistikated

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperluaskan kategori pelabur sofistikated sebagai langkah meningkatkan kebolehcapaian pasaran modal.

'Garis Panduan Kategori Pelabur Sofistikated' baharu, yang berkuat kuasa hari ini, mengukuhkan komitmen SC untuk mengekalkan daya saing dan kerancakan pasaran modal, sambil menggalakkan penyertaan pelabur yang lebih ramai.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin, berkata perkembangan pasaran modal Malaysia yang sofistikated semakin meningkat.

Katanya, lanjutan daripada ini, ia telah menghasilkan keperluan pembiayaan dan selera risiko pelaburan yang berbeza-beza.

"Kriteria pelabur sofistikated telah diperluaskan untuk mengambil kira lebih ramai individu yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan pasaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Awang Adek berkata, pada tahun 2023, pasaran modal domestik meningkat kepada RM3.8 trilion daripada RM3.6 trilion pada tahun sebelumnya.

"Ini memberikan peluang besar kepada pasaran untuk menarik pangkalan pelabur di serantau yang lebih pelbagai dan menggalakkan aliran modal yang lebih besar ke dalam produk dan segmen pasaran yang canggih," katanya.

Ciri utama peluasan itu termasuk kategori baharu yang mengambil kira pengetahuan dan pengalaman pelabur sofistikated.

Di samping itu, penambahbaikan kepada kategori semasa juga dilaksanakan, yang membolehkan fleksibiliti ambang kewangan sedia ada untuk individu bernilai bersih tinggi.

Kategori 'pengetahuan dan pengalaman' baharu akan memberi manfaat kepada individu yang tidak memenuhi kriteria kewangan, tetapi dapat menunjukkan pengetahuan kewangan secara sofistikated bagi mengambil bahagian dalam tawaran pasaran yang berkaitan.

Kategori ini menilai pelabur berpotensi berdasarkan pendidikan mereka, keahlian dalam persatuan kewangan yang diiktiraf, dan pengalaman praktikal dalam sektor berkaitan seperti perbankan, pasaran modal atau insurans.

Satu lagi perubahan penting ialah kemasukan nilai kediaman utama pelabur, sehingga had RM1 juta, dalam menilai kelayakan mereka sebagai pelabur sofistikated.

Takrifan akaun bersama juga diperluaskan untuk menggabungkan akaun dengan pasangan atau anak, termasuk jumlah pendapatan tahunan bersama bersih dan portfolio pelaburan.

Peluasan ini akan lebih menggambarkan status kewangan kolektif keluarga dan potensi pelaburan.

Berita Harian X