Isnin, 5 Februari 2024 | 3:12pm
Meer Habib ditemui media selepas majlis pecah tanah pembangunan gedung utama HABIB di Kuala Lumpur hari ini - NSTP/Rohanis Shukri
Meer Habib ditemui media selepas majlis pecah tanah pembangunan gedung utama HABIB di Kuala Lumpur hari ini - NSTP/Rohanis Shukri

Harga emas tempatan dijangka naik setinggi 15 peratus - HABIB

KUALA LUMPUR: HABIB menjangkakan harga emas tempatan meningkat di antara 10 peratus hingga 15 peratus menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Habib, berkata terdapat jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedahnya tahun ini.

Katanya, jika kadar faedah diturunkan, mungkin orang tidak akan menyimpan duit dalam dolar AS tetapi akan membeli emas, jadi secara tidak langsung akan menaikkan harga emas.

"Selain daripada itu juga di Malaysia (harga emas) bergantung kepada nilai ringgit. Jadi, kita dapat lihat lihat pada hari ini nilai ringgit telah susut kepada RM4.76 berbanding dolar AS, antara kadar paling rendah setakat ini.

"Apabila mata wang kita kurang baik, ia akan menyebabkan harga emas terus meningkat tinggi. Kadang-kadang apa yang berlaku di luar sana, di peringkat antarabangsa mungkin menyebabkan harga (emas) naik.

"Kalau ringgit kukuh mungkin (harga emas) tidak naik begitu banyak. Namun, secara keseluruhan kita dapat lihat harga emas sedang naik," katanya kepada media ketika ditemui selepas majlis pecah tanah pembangunan gedung utama HABIB di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Dengan keluasan 42,800 kaki persegi dan ketinggian tujuh tingkat, bangunan yang dijangka siap dibina akhir tahun depan itu akan menempatkan bukan sahaja ruang perniagaan, tetapi pejabat dan ruang acara.

Harga emas diniagakan pada harga RM310.86 segram ketika ditutup pada petang Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Meer berharap kerajaan tidak akan mengenakan Cukai Barang Bernilai Tinggi atau Cukai Barang Mewah terhadap industri barang kemas yang dijangka bermula Mei depan.

"Apa yang perlu kita tahu ialah kebanyakan orang yang membeli barang barang kemas ini adalah orang biasa kerana masih ramai yang ramai tidak mempunyai akaun bank.

"Golongan ini jika mahu menyimpan duit, mereka menyimpan dalam emas. Emas bukan sahaja boleh dijadikan sebagai perhiasan tetapi juga adalah sebagai instrumen pelaburan.

"Jadi, sebagai pelaburan saya rasa sepatutnya kita tidak kenakan cukai. Ini harapan kita kerana ia akan memberi kesan kepada orang ramai yang mahu melabur dalam emas.

"Ini kerana, jika dikenakan cukai 10 peratus,maka elemen pelaburan itu sudah tiada dan hanya jadi perhiasan sahaja, jadi saya berharap kerajaan tidak akan mengenakan cukai ini kepada barang kemas," katanya.

Berita Harian X