Jumaat, 2 Februari 2024 | 12:56pm
China diangga menyumbang 12 peratus daripada ketibaan jumlah pelancong di Malaysia -NSTP/Mohd Fadli Hamzah
China diangga menyumbang 12 peratus daripada ketibaan jumlah pelancong di Malaysia -NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Pelancong China pendorong utama perjalanan udara pulih

KUALA LUMPUR: Perjalanan udara untuk urusan perniagaan dan rekreasi dijangka terus pulih sepanjang tahun ini, didorong khususnya oleh kedatangan pelancong dari China.

Penganalisis Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon, berkata berdasarkan unjuran dalaman, ketibaan pelancong masuk ke Malaysia dijangka melonjak 35 peratus kepada 27 juta orang tahun ini berbanding dengan jangkaan kira-kira 20 juta ketibaan pelancong pada 2023.

"Ini disebabkan oleh pemacu utama adalah pelancong dari China yang menyumbang kepada anggaran 12 peratus daripada ketibaan jumlah pelancong di Malaysia, dengan lebih ramai dijangka datang ke negara ini kerana dasar baharu.

"Mulai Disember 2023, pelawat dari China dan India boleh tinggal di Malaysia selama 30 hari tanpa memerlukan visa dan China juga membenarkan rakyat Malaysia melawat selama 15 hari tanpa visa bermula 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Ping Khoon berkata, memandangkan lebih ramai orang yang datang ke lapangan terbang pada tahun ini sepatutnya akan meningkatkan bilangan penumpang untuk Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).

Beliau berpendapat bahawa bilangan pelancong akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang kerana syarikat penerbangan menggunakan lebih banyak pesawat untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

Katanya, bagi menguatkan trajektori pertumbuhan trafik, pergerakan perjalanan bagi jarak sederhana dan jauh seperti penerbangan ke Perth, Sydney dan Auckland, Asia Tenggara serta Asia Selatan perlu dipertingkatkan.

"Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyaksikan kepulangan semula Kuwait Airways selepas berehat selama tujuh tahun, manakala dua lagi syarikat penerbangan asing iaitu KLM Royal Dutch Airlines dan All Nippon Airways, akan mula meneruskan penerbangan tanpa henti ke Amsterdam dan Tokyo selepas buat menghentikan sementara waktu operasi kerana pandemik COVID-19.

"Selain itu, Malaysia Airlines telah meningkatkan kekerapan penerbangannya ke Tokyo mulai November 2022 bagi memenuhi lonjakan permintaan perjalanan selepas Jepun membuka semula sempadannya untuk pengembara antarabangsa," katanya.

Ping Khoon berkata, kumpulan AirAsia dalam pada itu menumpukan kepada operasi jarak sederhana dan telah meningkatkan penerbangan AirAsia X (AAX) Malaysia kepada 44 kali seminggu merentasi 10 laluan pada November 2022.

Beliau berkata, firma penyelidikan itu menggemari saham MAHB kerana ia menjadi pengendali lapangan terbang yang dominan di Malaysia dan antara yang terbesar di Turki, sekali gus menjadi proksi yang baik kepada pemulihan perjalanan udara dan pelancongan di peringkat tempatan, serantau serta global.

Malah, katanya pemegang saham syarikat itu juga telah menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi semasa melalui waktu sukar dan senang.

Berita Harian X