Jumaat, 26 Januari 2024 | 12:35pm
Projek RTS bakal siap pada akhir 2026 -NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Projek RTS bakal siap pada akhir 2026 -NSTP/Nur Aisyah Mazalan

HSR, LRT jadikan selatan Johor setanding Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Wilayah selatan Johor berpotensi menjadi bandar besar yang setara dengan Lembah Klang dalam jangka lebih panjang jika projek transit aliran ringan (LRT) dan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dilaksanakan, demikian menurut penganalisis.

Mengikut laporan, terdapat tiga laluan LRT yang dicadangkan, dan stesen akhir masing-masing mungkin terletak di Ikea Tebrau, kawasan Iskandar Puteri (sama ada Legoland atau Forest City) dan Senai.

Sementara itu, stesen bagi HSR juga mungkin terletak di Iskandar Puteri atau Forest City.

Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen, berkata walau di mana terletaknya lokasi sebenar stesen itu, pihaknya berpendapat kawasan Laluan Tuas akan meraih lebih banyak peluang pertumbuhan dengan adanya sistem pengangkutan baharu yang tertumpu di situ.

Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan tengah Johor sudah menjadi lebih padat.

"Johor mungkin menyaksikan pertumbuhan besar-besaran dalam pembinaan prasarana kereta api, lebih-lebih lagi jika kerajaan meneruskan projek LRT dan HSR.

"Hal ini patut meningkatkan permintaan untuk hartanah-hartanah kediaman, komersial dan perindustrian di Iskandar Malaysia dalam tahun-tahun akan datang, dengan kenaikan harga tanah yang terletak di lokasi strategik," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Menurutnya, sistem transit kereta api diperlukan bagi menambah daya tarikan pada zon ekonomi khas Johor-Singapura.

"Dengan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS) bakal siap pada akhir 2026, kami berpendapat LRT yang dicadangkan akan memainkan peranan besar dalam melengkapkan kesalinghubungan kereta api antara bandar, dan menggarap trafik penumpang dari Singapura yang kian bertambah.

"Populasi semasa di Johor ialah 4.01 juta orang manakala populasi Singapura ialah 5.5 juta orang," katanya.

Kok Wen berkata, projek HSR dijangka akan meningkatkan lagi sentimen terhadap sektor hartanah secara umumnya kerana ia dapat merangsang permintaan untuk hartanah di Iskandar Malaysia dan pusat bandar Kuala Lumpur, dan juga kawasan sekitar stesen HSR di sepanjang jajarannya.

Beliau berkata, HSR bakal menjadi pemangkin utama untuk meningkatkan pergerakan orang awam ke arah selatan, yang tidak terhad pada populasi antara Malaysia dan Singapura, tetapi juga pelancong antarabangsa.

Katanya, ia berikutan potensi kesalinghubungan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Changi.

"Sebagai makluman, jajaran terpanjang HSR akan dibina di Johor memandangkan lebih separuh daripada landasan itu akan melalui negeri ini,

"Kami berpendapat UEM Sunrise masih lagi menjadi pilihan saham yang terbaik, manakala Sunway, IOI Property Group dan EcoWorld berpotensi untuk meraih manfaat kerana mereka memiliki simpanan tanah berhampiran Jambatan Laluan Kedua dan Kulai," katanya.

Kok Wen menambah, kemasukan berita positif mengenai perkembangan ekonomi dan prasarana besar seharusnya terus mendorong sentimen pasaran.

"Dengan adanya kemungkinan projek-projek prasarana besar-besaran bakal dilaksanakan, masih terdapat peluang untuk sektor hartanah dinilai semula," katanya.

Berita Harian X