Isnin, 22 Januari 2024 | 4:52pm
Arab Health 2024 akan diadakan di Dubai.
Arab Health 2024 akan diadakan di Dubai.

MATRADE bawa 14 syarikat Malaysia sertai Arab Health 2024

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mempertingkatkan peluang eksport untuk 14 syarikat Malaysia yang mengkhusus kepada peranti perubatan inovatif, penyelesaian penjagaan kesihatan digital, farmaseutikal dan bioteknologi di acara penjagaan kesihatan, Arab Health 2024.

Acara yang dijadualkan dari 29 Januari hingga 1 Februari 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu merupakan acara perdagangan penjagaan kesihatan terbesar di rantau ini bagi perniagaan, pembelajaran dan rangkaian, dengan lebih 110,000 pengunjung antarabangsa dijangka hadir.

Menurut MATRADE, sebanyak 14 syarikat Malaysia yang akan mengambil bahagian iaitu Celbridge Sdn Bhd, Diptech Industries Sdn Bhd, Hana Medic Sdn Bhd, JR Engineering and Medical Technologies (M) Sdn Bhd, Kotra Pharma (M) Sdn Bhd, Merah Medical Sdn Bhd, MH Nexus Sdn Bhd, Nulatex Sdn Bhd dan Puncak Bumi Utama Sdn Bhd.

Selain itu, Timo International Sdn Bhd, TPE Healthcare Sdn Bhd, UWHM Sdn Bhd, Xepa-Soul Pattinson (Malaysia) Sdn Bhd dan Zizi Phamix Sdn Bhd juga akan menyertai Arab Health 2024, tambahnya dalam kenyataan pada Isnin.

Semua syarikat itu akan mengetengahkan kelebihan Malaysia dalam rangkaian produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan inovatif, tambahnya.

Pengarah Seksyen Gaya Hidup dan Sains Hayat MATRADE, Razida Hanim Abdul Razak, berkata pihaknya akan terus menyediakan laluan strategik kepada syarikat untuk membolehkan mereka mempunyai jalinan dengan pembekal serta pembeli tempatan dan antarabangsa meliputi pelbagai kategori produk, mewujudkan hubungan penting dan mengikuti aliran teknologi terkini dan inovasi dalam industri.

Beliau berkata, Malaysia berada di ranking global ketiga tertinggi dari segi kepercayaan terhadap sistem penjagaan kesihatannya menurut kajian yang dijalankan Ipsos pada 2023, manakala Singapura dan Switzerland masing-masing di kedudukan pertama dan kedua bagi perkhidmatan mereka yang boleh dipercayai.

"Berdasarkan aliran semasa, kami menjangkakan permintaan global yang stabil untuk produk penjagaan kesihatan berkualiti tinggi Malaysia pada 2024, manakala wilayah Timur Tengah dan Afrika Utara menawarkan peluang eksport yang berpotensi tinggi kepada Malaysia.

"Pelbagai program dasar kerajaan tempatan seperti Wawasan 2040 UAE dan Wawasan 2030 Arab Saudi menggariskan strategi jangka panjang untuk mengembangkan peranan sektor penjagaan kesihatan swasta dan mewujudkan kapasiti tambahan untuk pasaran mereka yang semakin berkembang," katanya dalam kenyataan yang sama.

Razida berkata, jangkaan peningkatan pelaburan daripada sektor ini akan menjana permintaan yang kukuh terhadap produk farmaseutikal, peralatan dan bekalan perubatan, perkhidmatan hospital dan profesional penjagaan kesihatan.

Secara keseluruhan, perbelanjaan penjagaan kesihatan di negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dianggarkan mencecah AS$135.5 bilion pada 2027, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun 5.4 peratus daripada AS$104.1 bilion pada 2022.

-BERNAMA

Berita Harian X