Isnin, 22 Januari 2024 | 2:02pm
Ketaksamaan yuran ATM di luar negara menekankan kepentingan perancangan kewangan strategik untuk rakyat Malaysia - Gambar hiasan
Ketaksamaan yuran ATM di luar negara menekankan kepentingan perancangan kewangan strategik untuk rakyat Malaysia - Gambar hiasan

Caj pengeluaran ATM di luar negara setinggi 14.8 peratus

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang mengeluarkan wang di ATM luar negara boleh dikenakan caj pengeluaran yang tinggi sehingga RM148 atau 14.8 peratus bagi pengeluaran sebanyak RM1,000.

Menurut kajian dilakukan oleh Wise, Argentina dan Chile adalah negara yang mengenakan caj pengeluaran yang tinggi iaitu masing-masing 14.8 peratus dan 6.33 peratus bagi setiap pengeluaran yang dibuat di ATM negara berkenaan.

Katanya, secara purata, negara-negara Amerika Selatan mengenakan yuran antara tiga hingga tujuh peratus berdasarkan jumlah pengeluaran.

"Sementara itu, destinasi popular untuk rakyat Malaysia seperti Australia, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam mengenakan caj antara 1.15 peratus hingga 2.85 peratus bagi setiap pengeluaran.

"Sebaliknya, rakyat Malaysia yang melancong ke Jepun, Taiwan dan United Kingdom (UK) boleh menjangkakan akan dicaj kurang daripada satu peratus apabila mereka menggunakan ATM di negara terbabit.

"Selain yuran ATM, rakyat Malaysia di luar negara mungkin mengalami caj tersembunyi dalam bentuk penanda kadar pertukaran yang tidak didedahkan apabila menggunakan kad kredit atau debit tradisional. Yuran tersembunyi ini sering menyebabkan ramai pelancong berbelanja lebih daripada yang mereka jangkakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Pengurus Negara Malaysia di Wise, Lim Paik Wan, berkata ketaksamaan yuran ATM di luar negara menekankan kepentingan perancangan kewangan strategik untuk rakyat Malaysia.

"Mengeluarkan wang di luar negara boleh menjadi mudah, tetapi kosnya berbeza dengan ketara. Adalah penting bagi pengembara untuk mengetahui bila mereka akan dikenakan bayaran tersembunyi dan mempertimbangkan alternatif kos efektif semasa berada di luar negara.

"Untuk terus mendapat maklumat, pengembara boleh melihat kepada Wise, yang menekankan ketelusan dan penetapan harga yang adil dengan menggunakan kadar pertukaran pasaran pertengahan yang biasanya ditunjukkan di Google dan memperincikan semua bayaran untuk setiap transaksi," katanya.

Rakyat Malaysia digalakkan untuk meneroka alternatif pembayaran digital untuk mengurangkan kebergantungan kepada pengeluaran ATM.

Antara tip yang boleh dipertimbangkan oleh pengembara untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu adalah dengan berhati-hati dengan yuran pengeluaran.

Bergantung pada destinasi, transaksi ATM di luar negara boleh menyebabkan kos yang besar, terutamanya untuk jumlah yang kerap dan kecil.

Sebagai contoh, di Argentina, pengembara yang mengeluarkan RM200 setiap hari selama seminggu akan membayar yuran RM29.60 sehari berjumlah RM207.20 untuk kesemua tujuh hari.

Selain itu, pengembara digalakkan sentiasa bayar dalam mata wang tempatan.

Pengembara yang memilih untuk membayar dalam mata wang negara asal mereka, seperti ringgit, boleh dicaj antara 0.5 peratus hingga dua peratus dalam yuran penukaran mata wang dinamik apabila menggunakan kad.

Untuk mengelakkannya, rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara harus sentiasa membayar dalam mata wang tempatan di destinasi yang mereka kunjungi.

Mereka juga boleh mempertimbangkan kad Wise, yang memudahkan perbelanjaan antarabangsa yang lancar dalam lebih 40 mata wang berbeza, dan membenarkan dua pengeluaran percuma sehingga RM1,000 sebulan.

Berita Harian X