Ahad, 21 Januari 2024 | 11:26am
Golongan belia di negara ini boleh menyumbang ke arah transformasi digital -NSTP/Eizairi Shamsudin
Golongan belia di negara ini boleh menyumbang ke arah transformasi digital -NSTP/Eizairi Shamsudin

PayNet sasar peningkatan transaksi tanpa tunai di IPT

PUTRAJAYA: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menyasarkan 17 juta transaksi tanpa tunai di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara tahun ini, meningkat 50 peratus berbanding 11.8 juta transaksi tahun lalu.

Pengarah Kanan Paynet, Bahagian Pendigitalan Kerajaan, Firdaus Ghani, berkata pihaknya bercadang untuk memperluaskan inisiatif dikenali sebagai Kampus Digital 3.0 yang pertama kali dilancarkan pada 2019, ke politeknik, insititut perguruan dan pusat matrikulasi tahun ini.

"Kita sememangnya mahu menggalakkan pembayaran tanpa tunai di kampus kerana terdapat sejuta lebih yang sedang belajar di universiti dan mereka adalah asas atau dalam golongan umur yang sesuai untuk diberi pendekatan atau ubah cara hidup ke arah pembayaran tanpa tunai," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen Kampus Digital 3.0 dan penyampaian hadiah kepada universiti yang berjaya mencatat jumlah transaksi tanpa tunai paling tinggi di Putrajaya, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu muncul juara dalam kempen Kampus Digital 2.0, dengan mencapai urus niaga tanpa tunai perkapita tertinggi pada 2023 bagi kategori universiti awam manakala Universiti Teknologi & Inovasi Asia Pasifik (APU) dalam kategori universiti swasta.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, beliau percaya bahawa peningkatan bilangan IPT yang mengambil bahagian bersama dengan hasilnya, menunjukkan bahawa golongan belia di negara ini boleh menyumbang ke arah transformasi digital sektor pendidikan.

"Adalah amat menggalakkan untuk melihat inisiatif ini didorong oleh majlis perwakilan pelajar universiti dan bagaimana mereka menerajui peralihan ini kepada transaksi tanpa tunai dalam institusi pendidikan tempatan.

"PayNet berbangga untuk memperkasakan pemimpin masa depan untuk berusaha ke arah ekosistem tanpa tunai yang selamat dan boleh dipercayai.

"Kami mahu supaya pelajar meneruskan amalan tabiat pembayaran digital di luar kampus dalam perjalanan kita ke arah negara tanpa tunai," katanya.

Kampus Digital 2.0 telah diadakan dari Oktober hingga Disember 2023 dengan 28 universiti yang mengambil bahagian daripada IPT awam dan swasta.

Kempen itu memerlukan badan perwakilan pelajar setiap institusi mengemukakan cadangan kempen kepada PayNet mengenai cara memupuk penerimaan pembayaran digital dalam ekosistem kampus.

Berita Harian X