Khamis, 18 Januari 2024 | 6:36pm
Gambar hiasan. Ladang nanas.
Gambar hiasan. Ladang nanas.

LPNM sasar tingkat nilai ekonomi tanaman nanas

JOHOR BAHRU: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyasarkan untuk meningkatkan nilai ekonomi tanaman pokok nanas kepada RM50 sepokok menjelang tahun 2025.

Pengerusi LPNM Sheikh Umar Bagharib Ali berkata pelbagai pendekatan agronomi harus diterokai lembaga itu bagi mencapai sasaran yang bakal memberi pulangan lumayan kepada pekebun nanas seluruh negara itu.

"Dalam erti kata lain, sekiranya kita mengambil kadar purata tanaman nanas varieti MD2 sebanyak 15,000 pokok satu ekar (0.4 hektar), pekebun nanas mampu meraih hasil pendapatan kasar sebanyak RM750,000, jika nilai ekonomi tanaman pokok nanas itu meningkat kepada RM50 sepokok.

"Bagaimanapun, sekarang ini, nilai tersebut adalah di antara RM20 hingga RM30 (sepokok) sahaja dan ia bergantung kepada produk akhir yang dihasilkan seperti produk buah segar dan jus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu beliau berkata konsep 'Sekali Tanam, Tiga Kali Tuai' yang diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini, dilihat bertepatan dengan sasaran LPNM dalam kerangka merealisasikan tanaman nanas sebagai sumber kekayaan baharu sektor pertanian.

Beliau berkata ini kerana konsep itu yang melibatkan tiga peringkat tuaian daripada buah, sulur (benih) dan sisa, mampu meningkatkan pendapatan tambahan kepada pekebun nanas.

"Berdasarkan kajian Bahagian Strategik LPNM, pekebun mampu meraih sehingga RM37,000 bagi satu hektar (tanah) hasil daripada jualan sisa nanas," katanya.

Selain itu, Sheikh Umar berkata kemunculan varieti baharu Sarawak Gold (SG1) yang berpotensi menjadi pengubah industri nanas negara, akan mula dibawa masuk ke Semenanjung untuk rangka perluasan tanaman dan produk hiliran.

Tempoh tuaian SG1 yang lebih singkat iaitu pada kadar sembilan bulan berbanding purata 14 bulan bagi nanas MD2, mampu melipat gandakan pengeluaran hasil nanas negara, katanya.

Justeru, beliau berkata LPNM yakin dengan segala peluang yang ada dalam meningkatkan industri nanas negara, komoditi tersebut mampu untuk mencapai sasaran eksport sehingga 1,000 kontena setahun, berbanding 800 kontena setahun setakat ini. – Bernama

Berita Harian X