Rabu, 17 Januari 2024 | 1:55pm
Jumlah kos bakul kelangsungan hidup pada awal 2024 ialah RM437.58 -NSTP/Effendy Rashid
Jumlah kos bakul kelangsungan hidup pada awal 2024 ialah RM437.58 -NSTP/Effendy Rashid

Malaysia tempat ke-59 gaji minimum bersih dengan RM1,323

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di tempat ke-59 daripada 67 negara dalam ranking gaji minimum bersih global yang dikeluarkan Picodi Malaysia.

Laporan 'Gaji minimum di seluruh dunia: Di manakah anda boleh hidup dengan gaji minimum?' yang dikeluarkan pengendali platform e-dagang carian barang murah itu menunjukkan gaji minimum bersih bulanan di Malaysia sebanyak RM1,323 setakat Januari 2024.

Ia berkata, 58 daripada 67 negara yang berada dalam ranking itu, menyaksikan gaji minimum setakat Januari 2024 berbanding Januari 2023 telah berubah.

Katanya, kenaikan terendah dicatatkan di Perancis (3.4 peratus), Jerman (2.8 peratus) dan Thailand (2.5 peratus), manakala gaji minimum di Sepanyol, Malaysia dan Vietnam tidak berubah.

Manakala, negara mencatatkan kenaikan tertinggi dalam gaji minimum ialah Argentina (meningkat 138 peratus) dan Türkiye (meningkat 100 peratus).

"Malaysia menduduki tempat ke-59 dalam ranking. Gaji minimum bersih adalah RM1,323, sama dengan paras tahun lalu," katanya.

Dalam laporan itu, Picodi Malaysia menggunakan gaji bersih, yang dibawa pulang oleh pekerja kerana ia berpendapat perbandingan sedemikian lebih adil berikutan perbezaan antara gaji kasar dan bersih, bergantung kepada negara, boleh setinggi 30 peratus.

Pasukan penganalisis Picodi Malaysia mengkaji bagaimana gaji minimum berubah di 67 negara, bagaimana harga barangan runcit asas meningkat dan bagaimana kos kelangsungan hidup dibandingkan dengan gaji minimum.

Dalam laporan Picodi Malaysia itu menunjukkan di Malaysia, jumlah kos bakul kelangsungan hidup pada awal 2024 ialah RM437.58, 7.92 peratus lebih tinggi berbanding 2023.

Jumlah itu mewakili 33.1 peratus daripada gaji minimum bersih, manakala pada awal tahun lalu ia adalah 30.6 peratus daripada gaji minimum, bermakna kenaikan gaji minimum Malaysia tidak seiring dengan kenaikan harga makanan.

Picodi Malaysia turut memaklumkan bahawa nisbah bakul runcit yang paling selesa kepada gaji minimum dicatatkan di United Kingdom, Ireland, Belanda, Luxembourg dan New Zealand, dengan pekerja di negara berkenaan hanya membelanjakan kurang 10 peratus daripada gaji minimum bagi membeli keperluan barangan runcit asas.

"Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara itu memandangkan bakul kelangsungan hidup di negara ini mewakili 33.1 peratus gaji minimum (berada pada kedudukan ke-48 dalam ranking).

"Namun, kedudukan Malaysia lebih tinggi berbanding Pakistan (42.4 peratus), Indonesia (49.8 peratus), Thailand (54.4 peratus) dan Filipina (66.2 peratus)," katanya.

Berita Harian X