Isnin, 15 Januari 2024 | 11:24am
AI boleh menjadikan pekerjaan lebih produktif dan meningkatkan tahap pendapatan - Gambar fail NSTP
AI boleh menjadikan pekerjaan lebih produktif dan meningkatkan tahap pendapatan - Gambar fail NSTP

40 peratus pekerjaan di dunia terkesan oleh AI

WASHINGTON: Kecerdasan buatan (AI) dijangka menimbulkan risiko kepada keselamatan pekerjaan di seluruh dunia, namun menawarkan 'peluang besar' untuk meningkatkan tahap produktiviti dan merangsang pertumbuhan ekonomi global, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva dalam temu bual sebelum berlepas ke Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, berkata AI akan memberikan kesan terhadap kira-kira 60 peratus pekerjaan dalam ekonomi maju.

"Memandangkan AI dijangka kurang memberi kesan kepada negara membangun, kira-kira 40 peratus pekerjaan di seluruh dunia mungkin terjejas.

"Lebih banyak anda memiliki pekerjaan berkemahiran tinggi, maka lebih tinggi impaknya," katanya memetik laporan terbaharu IMF.

Bagaimanapun, laporan IMF yang diterbitkan semalam itu menyatakan bahawa hanya separuh daripada pekerjaan yang terkesan oleh AI akan menerima impak secara negatif; selebihnya mungkin mendapat manfaat daripada peningkatan produktiviti yang disebabkan oleh AI.

"Pekerjaan anda mungkin hilang sama sekali, sesuatu yang tidak bagus, atau AI boleh meningkatkan sektor pekerjaan, jadi anda sebenarnya akan menjadi lebih produktif dan tahap pendapatan mungkin meningkat," kata Georgieva.

Laporan IMF meramalkan bahawa, pasaran buruh dalam pasaran baru muncul dan ekonomi membangun akan melihat kesan awal yang lebih kecil daripada penggunaan AI.

Ia juga kurang berkemungkinan untuk mendapat manfaat daripada peningkatan produktiviti yang akan muncul melalui integrasi teknologi itu di tempat kerja.

"Kita mesti memberi tumpuan untuk membantu negara berpendapatan rendah khususnya untuk bergerak lebih pantas bagi meneroka peluang yang akan ditawarkan oleh AI.

"Justeru, AI, benar agak menakutkan. Namun, ia juga peluang luar biasa untuk semua," katanya.

IMF dijangka menerbitkan ramalan ekonomi terkini akhir bulan ini yang akan memberi gambaran mengenai ekonomi global secara umumnya berada di landasan untuk memenuhi unjuran sebelumnya, katanya.

"Ia bersedia untuk mencatatkan kadar sederhana," katanya, sambil menambah bahawa 'dasar monetari berfungsi dengan baik, inflasi menurun, tetapi tugas itu belum selesai.

Ekonomi global boleh menggunakan rangsangan produktiviti berkaitan AI, selepas IMF meramalkan ia akan terus berkembang pada tahap terhenti dalam sejarah dalam jangka sederhana.

"Betapa kita memerlukannya," katanya.

- AFP

Berita Harian X